‘Kelesuan pandemik’ punca kadar kepatuhan SOP menurun

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Penurunan kadar kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat dipercayai berpunca faktor ‘kelesuan pandemik.’

Pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan, berkata penularan wabak COVID-19 di negara ini yang mencetuskan perubahan mendadak terhadap norma kehidupan kini sudah menjengah hampir setahun.

Sehubungan itu, katanya, segelintir segmen masyarakat mula bosan dan mengambil pendekatan putus asa terhadap risiko penularan COVID-19.

“Mereka rasa banyak sangat kekangan dan dikongkong, sampai ada yang tidak memakai pelitup muka serta mengimbas kod MySejahtera.

“Perkara ini banyak dibincangkan di media massa dan berlaku juga di luar negara, maka ia bukan sesuatu yang hanya unik di Malaysia.

“Sudah pasti, disebabkan faktor kelesuan pandemik ini, ia akan menjejaskan kadar kepatuhan masyarakat terhadap SOP mengekang penularan COVID-19 yang digariskan kerajaan,” katanya ketika menjadi panel webinar bertajuk ‘Kawalan Pandemik COVID-19 : Perspektif Sains Perubatan dan Islam,’ hari ini.

Bicara penyelidikan anjuran Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menampilkan pakar virologi dan penyakit berjangkit, Prof Madya Dr Noor Zetti Zainol Rashid; pakar psikologi, Prof Dr Khairul Anwar Mastor serta penceramah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Mohd Rohaizat berkata, kelesuan pandemik kini menjadi cabaran getir dalam usaha dan program kesihatan awam yang giat dijalankan.

Menyedari risiko sedemikian, beliau menyarankan usaha bersepadu menerusi penggunaan media massa dan program berkaitan dilipat gandakan, sekali gus mengekalkan kadar kepatuhan SOP dalam masyarakat.

“Berdasarkan kajian dijalankan UKM sebelum ini, kita dapati peringkat umur paling kurang mematuhi SOP adalah antara usia 21 hingga 40 tahun.

“Sekiranya diteliti, kita andaikan individu dalam kategori usia muda ini berkemungkinan tidak cakna sangat mengenai bahaya dan risiko COVID-19, termasuk gejala jangkitan.

“Berlainan pula kisahnya golongan berusia 60 tahun ke atas yang kita dapati paling patuh kepada SOP, berkemungkinan kerana khuatir terhadap risiko jangkitan.

“Disebabkan risiko kematian semakin meningkat dalam kalangan usia ’emas’, mereka ini lebih patuh kepada SOP jika dibandingkan dengan golongan berumur antara 21 hingga 40 tahun,” katanya.

Menerusi sisi psikologi, Khairul Anwar, berkata pendidikan yang menitipkan peranan setiap individu dalam peringkat masyarakat, institusi keluarga dan agama berupaya dijadikan ‘modal’ bagi menangani faktor kelesuan pandemik.

“Teori pelaburan sosial sebelum ini ada menjelaskan perubahan tingkah laku apabila melihat atau menyedari peranan mereka dalam masyarakat.

“Justeru, perkara ini harus diketengahkan supaya fungsi mereka di peringkat masyarakat, keluarga dan agama dapat sentiasa menjadi ‘pembakar semangat’ untuk terus mematuhi SOP,” katanya. -BERITA HARIAN

-Advertisement-

-Advertisement-


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427