CUEPACS bantah tindakan disiplin petugas kesihatan gagal patuhi SOP COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: CUEPACS membantah cadangan tindakan disiplin Kementerian Kesihatan (KKM) kepada petugas kesihatan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

-Advertisement-

Cadangan itu dikemukakan pakar kesihatan awam universiti tempatan yang mahu KKM menguatkuasakan tindakan disiplin terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi SOP ditetapkan bagi mencegah jangkitan COVID-19 di kawasan hospital.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata ini kerana tindakan itu seolah-olah menggambarkan petugas kesihatan di hospital tidak mematuhi SOP hingga menjadi antara faktor berlakunya peningkatan kes COVID-19 di kawasan terbabit.

Adnan berkata, cadangan mengenakan tindakan disiplin tidak wajar memandangkan petugas kesihatan sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan terbaik sejak penularan wabak ini dikesan di negara.

“Seperti rakyat lain, petugas KKM juga tidak mahu dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Mereka bukan sahaja dibekukan cuti sejak awal tahun lalu, bahkan bekerja melebihi 12 jam sehari, tidak dapat bertemu keluarga serta bekerja dengan pelbagai kekangan kerana mahu memastikan keselamatan rakyat.

“Sewajarnya kita melihat punca penularan jangkitan COVID-19 di hospital dalam konteks lebih luas dan tidak terus membuat sebarang kenyataan berbentuk hukuman kepada pihak lain tanpa mengetahui situasi sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, CUEPACS bersetuju sekiranya isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas KKM ditekankan bagi memastikan jangkitan di fasiliti kesihatan dapat dielakkan.

-Advertisement-

Kata Adnan lagi, jangkitan tidak bergejala yang mungkin dibawa pesakit mendedahkan lagi petugas KKM kepada risiko jangkitan lebih tinggi memandangkan mutasi virus semakin agresif dan mudah berjangkit.

“Ada pengunjung yang hadir ke hospital tidak mematuhi SOP dengan sebaik-baiknya terutama mereka mempunyai gejala. Jangkitan diterima petugas kesihatan juga kebanyakan daripada orang awam mendapatkan rawatan.

“Faktor ini tiada kena-mengena dengan keengganan petugas kesihatan mematuhi SOP keselamatan di hospital mereka bertugas,” katanya.

Adnan menjelaskan, antara faktor perlu dipertimbangkan adalah mengenai tempat kerja sempit hingga menyukarkan penjarakan sosial, penggiliran kerja dari rumah yang tidak dapat dijalankan serta kakitangan hilang fokus kerana bebanan kerja tinggi.

“Faktor ini perlu diberi pertimbangan sekiranya kita mempersoalkan isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas kesihatan, malah ada fasiliti kesihatan yang tidak menerima peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi atau bekalan dihantar lewat yang mampu mendedah risiko jangkitan,” katanya.

Tambah Adnan, CUEPACS berharap semua pihak tidak saling menuding jari sebaliknya bersama-sama membendung penularan wabak ini dan mengamalkan normal baharu.

“Isu jangkitan COVID-19 bukanlah perkara yang jarang berlaku kerana ia turut membabitkan petugas kesihatan di negara luar dan perkara yang penting adalah kerjasama daripada semua pihak bagi membantu petugas barisan hadapan kita ini,” katanya. -BERITA HARIAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427