PUTRAJAYA, 18 Dis — Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 akan dilaksanakan selama 10 hari dari 22 hingga 31 Dis, melibatkan 19 jenis barangan, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.
Skim di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, katanya.
“Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Krismas 2020 melibatkan tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan,” katanya ketika mengumumkan SHMMP Krismas 2020 menerusi laman Facebook KPDNHEP hari ini. Krismas disambut pada 25 Dis.
“Walaupun perayaan Krismas 2020 disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan Krismas tetap ada dan dijangka meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan,” katanya.
Nanta berkata kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.
Barangan terlibat adalah :-
Harga Borong (RM) Harga Runcit (RM)
Ayam hidup |
1 kg |
5.60 |
6.10 |
Ayam standard |
1 kg |
6.60 |
7.40 |
Ayam super |
1 kg |
7.40 |
8.30 |
Ayam belanda import |
1 kg |
27.00 |
30.00 |
Telur ayam gred A |
sebiji |
0.35 |
0.37 |
Telur ayam gred B |
sebiji |
0.34 |
0.36 |
Telur ayam gred C |
sebiji |
0.33 |
0.35 |
Daging kambing tempatan bertulang |
1 kg |
47.00 |
50.00 |
Daging kambing biri-biri import bertulang |
1 kg |
23.00 |
27.00 |
Ubi kentang import (China) |
1 kg |
2.00 |
3.00 |
Lobak merah |
1 kg |
3.50 |
4.50 |
Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) |
1 kg |
2.00 |
3.00 |
Tomato |
1 kg |
3.50 |
4.50 |
Lada benggala hijau |
1 kg |
10.00 |
12.00 |
Ayam tua hidup |
1 kg |
7.10 (Sarawak Sahaja) |
7.90 (Sarawak Sahaja) |
Kepak ayam |
1 kg |
11.00 (Sarawak) 12.00 (Sabah) |
12.00 (Sarawak) 13.00 (Sabah) |
Babi hidup (peringkat ladang) |
1 kg |
10.00 (Sarawak) 11.00 (Sabah) |
10.00 (Sarawak) 11.00 (Sabah) |
Daging babi (perut) |
1 kg |
17.50 (Sarawak) 20.00 (Sabah) |
19.50 (Sarawak) 22.00 (Sabah) |
Daging babi (daging dan lemak) |
1 kg |
16.50 (Sarawak) 18.00 (Sabah) |
18.50 (Sarawak) 20.00 (Sabah) |
Nanta berkata harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan sempena SHMMP Krismas 2020 adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan ketika menjelangnya hari perayaan.
“Terdapat juga harga yang ditentukan adalah lebih rendah dan kekal sepertimana pelaksanaan SHMMP Deepavali 2020 yang lepas,” katanya.
Beliau berkata KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara pada 2019, serta Januari hingga Disember tahun ini.
“Ia berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP dan pandangan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya.
Beliau berkata perbincangan juga dilaksanakan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut.
Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak, katanya.
Sementara itu, Nanta berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah SHMMP Krismas 2020 dan mereka yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” kata Nanta.
Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi SHMMP Krismas 2020, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui talian 03-8000 8000 (Malaysia Government Call Centre (MYGCC)) atau talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 03-8882 6245 / 6088.
Aduan juga boleh disampaikan melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU atau WhatsApp ke 019-279 4317, atau e-mel ke alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my. -BERNAMA