PUTRAJAYA: Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Raja-raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai fatwa vaksin Covid-19 itu dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mesyuarat muzakarah berkenaan minggu lepas.
“Selepas mendapat perkenan dan persetujuan, kita akan uar-uarkan sebab fatwa ini bukan untuk disembunyikan. Kita ikut tertib-tertibnya,” katanya selepas menyampaikan 80 pek bantuan sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada penghantar makanan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan, di sini hari ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu bersidang pada 3 Dis lepas bagi membincangkan isu berkenaan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.
Pada majlis hari ini, Zulkifli turut melancarkan Bilik Gerakan Bencana Banjir Yadim yang diwujudkan bagi menyelaras usaha membantu mangsa yang terjejas akibat bencana itu.
Dalam ucapannya, beliau meminta Yadim memohon bantuan sebanyak RM500,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) di bawah bantuan asnaf sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada.
Zulkifli juga berkata, walaupun usaha membantu mangsa banjir diselaraskan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), namun inisiatif Yadim dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain dapat membantu kerajaan menggerakkan penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Saya juga mahu kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang arif mengenai banjir. Kalau boleh kita belajar daripada pengalaman mereka,” katanya. -FMT