Tiga lagi peruntukan Belanjawan 2021 lulus peringkat jawatankuasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Peruntukan bagi Kementerian Luar, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi dalam Belanjawan 2021 lulus di peringkat jawatankuasa hari ini dengan hanya satu daripadanya melalui proses undi belah bahagian.

-Advertisement-

Peruntukan kementerian yang melalui proses itu ialah Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi apabila lebih 15 Ahli Parlimen bangun meminta undi belah bahagian dibuat selepas undian mengikut suara.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementerian itu lulus di peringkat Jawatankuasa selepas sejumlah 108 Ahli Parlimen mengundi menyokong, 95 tidak bersetuju manakala 17 tidak hadir.

Kelulusan itu menjadikan peruntukan bagi kementerian yang telah lulus di peringkat jawatankuasa setakat ini ialah lima dengan dua daripadanya diluluskan mengikut undian suara terbanyak manakala tiga melalui proses undi belah bahagian.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu berkata Dasar Perpaduan Negara yang kini di peringkat akhir penyediaannya dijangka dilancarkan tahun depan.

“Kandungan (dasar) ini termasuk Pelan Tindakan Perpaduan berkaitan tindakan terancang yang mahu kita rencanakan supaya rakyat boleh fikirkan peranan tanggungjawab perpaduan sebagai satu kebiasaan, sesuai dalam konteks Malaysia bagi kita mengukuhkan agenda perpaduan.

-Advertisement-

“Kementerian juga telah bangunkan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) iaitu satu petunjuk kepada pengukuran tahap perpaduan nasional yang menjadi sumber rujukan penting kepada kementerian dalam apa jua perancangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Perbahasan, penggulungan dan pengundian di peringkat jawatankuasa dijadual sehingga 15 Dis ini.

Esok, tiga kementerian dijadual terlibat iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov lepas, lulus di peringkat dasar pada Khamis dengan undi suara terbanyak Ahli Parlimen setelah dua minggu dibahas dan melalui proses penggulungan selama empat hari.

Persidangan dewan bersambung esok. — BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427