PETALING JAYA: Tanggapan sesetengah pihak orang ramai berpusu-pusu ke premis pajak gadai untuk membuat pajakan terutama bagi yang hilang pendapatan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik Covid-19 tidak tepat, sebaliknya mereka menebus barang kemas atau melanjutkan tempoh gadaian.
Presiden Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia Tan Ho Keng memaklumkan, perniagaan mereka merosot hampir 60% sejak PKP dilaksanakan kerana premis terpaksa ditutup lebih sebulan sejak 18 Mac lalu dan hanya dibenar beroperasi semula selepas itu secara bersyarat.
Katanya, perniagaan mereka merosot susulan tiada pelanggan baharu membuat pajakan dan ia mungkin disebabkan orang ramai sukar bergerak termasuk apabila kerajaan melaksanakan PKPB semula yang mengehadkan perjalanan rentas daerah.
Katanya, selain itu orang ramai masih mempunyai wang dan menggunakan alternatif lain termasuk bantuan diberikan kerajaan bagi mereka yang terjejas akibat Covid-19.
“Mungkin ada yang berpendapat bila Covid-19 melanda, ramai orang susah sebab terjejas, hilang kerja, hilang pendapatan dan mereka akan ke pajak gadai. Tapi sebenarnya tidak, kami (perniagaan) yang rugi sebab tidak ada orang datang.
“Sejak PKP dilaksanakan perniagaan kedai pajak gadai seluruh negara merosot 30%, dan sekarang ini kerajaan melaksanakan PKPB kali kedua (tidak boleh rentas daerah) orang tak boleh datang, keadaan bertambah teruk merosot lagi anggaran 50% hingga 60%,” katanya kepada FMT.
Tan berkata, sebelum ini kebanyakan pelanggan datang membuat pajakan untuk mendapatkan modal pusingan bagi perniagaan dan perbelanjaan sementara.
“Mungkin juga mereka tidak ke pajak gadai sekarang disebabkan Covid-19, mereka nak berniaga tak boleh. Mungkin sebab itu tak ramai datang, nak berniaga tak berani,” katanya.
Katanya, kebanyakan pelanggan yang mengunjungi premis pajak gadai untuk menebus barang kemas, membuat pembayaran faedah, melanjutkan tempoh gadaian dan hanya segelintir membuat pajakan.
“Ramai orang dapat gambaran salah, bila tengok gambar tular beratur di kedai pajak gadai konon mereka berpusu-pusu untuk menggadai barang sejak PKP dilaksana sebab mahukan duit, tapi sebenarnya mereka datang untuk membayar ‘bunga’ saja sebab PKP bermula 18 Mac, kedai tidak buka lebih sebulan,” katanya.
Beliau tidak menolak jika keadaan itu berterusan, akan ada perniagaan akan gulung tikar dan pekerja terpaksa diberhentikan.
Katanya, ketika ini ada lebih 600 premis pajak gadai di seluruh negara dengan pekerja melebihi 3,000 orang.
Menurutnya, bagi menghadapi situasi getir ini pihaknya berharap kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan sementara pengeluaran lesen baharu pajak gadai bagi mengurangkan lambakan sehingga keadaan pulih.
Sementara itu, tinjauan FMT di premis pajak gadai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mendapati ramai pelanggan datang untuk membayar faedah dan melanjutkan tempoh gadaian barang kemas mereka.
Pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Ramlah berkata, dia ke premis itu untuk membuat bayaran upah simpanan gelang emas yang tertangguh.
Syarifah pula berkata, dia ke premis itu untuk membuat penebusan serta melanjutkan tempoh gadaian selepas mendapat bantuan BPN dan pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sementara itu, Munirah pula memilih memajak barang kemasnya sebagai persediaan untuk perbelanjaan kelak.
“Saya baru diberhentikan kerja, saya datang gadai barang kemas ini sebagai persediaan untuk perbelanjaan kemudian hari memandangkan harga emas tengah naik, bila keadaan kembali stabil saya akan tebus semula,” katanya. -FMT