KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia-Thailand, akan menukar strategi dan sistem rondaan di kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut strategi dan sistem itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Abd Rahim Jaafar berkata perubahan itu berikutan sempadan negara sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian tembakan sehingga mencederakan anggota pasukan berkenaan.
“Melihat kepada insiden seorang anggota PGA yang bertugas di Bukit Kayu Hitam, Kedah cedera ditembak dengan senapang angin, kita akan memperketatkan kawalan di sempadan dan menambah baik sistem agar kegiatan penyeludupan tidak dapat menembusi sempadan negara kita.
“Selain itu, PGA akan membuat rondaan pagar ke pagar (di pintu kecil sempadan) di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 30 hingga 40km untuk berhubung dengan pihak berkuasa Thailand,” katanya.
Mengulas mengenai kecederaan anggota PGA yang bertugas dekat Bukit Kayu Hitam itu, Abd Rahim berkata anggota berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.
“Suspek yang menembak anggota saya menggunakan senapang cicak (senapang angin) itu, tembakannya mengenai perut mangsa yang hanya mengalami sedikit melecet,” katanya.
Justeru, beliau berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk membanteras aktiviti penyeludupan kawasan sempadan negara.
Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam itu adalah yang ke-2 membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan 2 anggota pasukan tersebut berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.
PGA kerah unit berkuda, udara dan perisai gempur penyeludup
Dalam pada itu, PGA turut menggerakkan unit berkuda, unit udara, unit kereta perisai dan anggota 69 Komando (VAT69) ke sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan, dan memburu penyeludup.
Komander Briged Utara PGA Abdul Ghani Mohamad Ji berkata keempat-empat unit itu akan memastikan sempadan negara tidak mudah lagi dibolosi.
Beliau berkata PGA akan menambah 3 unit kereta perisai dengan kekuatan 12 anggota yang dibahagikan kepada 3 kumpulan, manakala tugasan pemantauan udara akan dilakukan oleh unit udara dibantu oleh VAT69 dan anggota penjejak dari Batalion 3 PGA yang akan melakukan tinjauan di darat.
“Kita juga akan tempatkan 3 unit berkuda melakukan rondaan di sepanjang sempadan bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar.
“Sehingga kini, 6 ekor kuda daripada unit berkuda polis akan ditugaskan bagi melakukan rondaan mengikut giliran,” katanya semalam ketika melakukan tinjauan sekitar lokasi kejadian tembak menembak yang melibatkan anggota PGA itu.
Abdul Ghani berkata rondaan bersepadu itu akan bermula pada 27 Nov melibatkan rondaan bersepadu dari Markas Taktikal (MARTAK) PGA Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Padang Besar, Perlis dan Pos Kawalan BKC 7 ke Padang Besar.
Katanya, di samping rondaan bersepadu, PGA turut akan melakukan rondaan di seluruh 23 pos kawalan sepanjang laluan keselamatan bermula daripada MARTAK PGA Bukit Kayu Hitam ke Padang Besar berdasarkan maklumat yang diperolehi dari semasa ke semasa.
Beliau berkata daripada risikan terdapat 5 hingga 7 kumpulan penyeludup yang aktif sejak kebelakangan ini. -FMT