KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan perkhidmatan 600 pensyarah sambilan ditamatkan seperti dilaporkan sebuah portal berita berbahasa Inggeris semalam.
Naib Canselornya, Prof Mohd Azraai Kassim menyifatkan laporan bertajuk “UiTM re-assesses 600 part-time lecturers after funding cut” sebagai salah tafsir dan mengelirukan pelbagai pihak.
“Dalam kenyataan bertulis UiTM kepada portal berita itu, (kami) sama sekali tidak menyentuh isu berkaitan pemotongan bajet universiti. Oleh itu, isu pemberhentian pensyarah sambilan tidak timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azraai berkata, pengambilan pensyarah sambilan UiTM bagi setiap semester berdasarkan keperluan program serta subjek setiap fakulti.
“Justeru, jumlahnya berbeza-beza pada setiap semester. Oleh itu, laporan yang mengatakan UiTM memberhentikan pensyarah sambilan tidak tepat dan amat dikesali.”
Katanya, UiTM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang prihatin dengan pembangunan serta operasi universiti, malah ia proses berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa. -FMT