Undang-undang sedia ada cukup kekang kesalahan persenda agama

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Putrajaya hari ini berkata undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani kesalahan menghina, mempersenda atau memainkan isu agama.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said memberitahu Dewan Rakyat, polis akan mengambil tindakan tegas dengan melakukan tangkapan dan pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Undang-undang sedia ada adalah mencukupi sebagai satu bentuk ‘deterrent’ kepada
rakyat supaya tidak mempersendakan isu sensitif seperti agama dan perkauman. Tetapi, kementerian dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji perundangan tersebut untuk ditambahbaik,” kata Ismail (BN-Kuala Krau).

Beliau menjawab pertanyaan Ramli Mohd Noor (BN-Cameron Highlands) mengenai hasrat kerajaan untuk meminda sebarang akta atau peraturan sedia ada kepada hukuman yang lebih berat.

Ramli juga bertanya apakah kerajaan merancang untuk menggubal undang-undang seperti Akta Anti-Diskriminasi, Akta Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional dan Akta Kebencian Agama dan Kaum, seperti dicadang oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ismail berkata, kerajaan PH memutuskan elemen melibatkan sensitiviti kaum dan agama boleh berada bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

-Advertisement-

388 aduan program subsidi upah

Dewan Rakyat turut diberitahu Perkeso menerima 388 kes aduan oleh pekerja terhadap majikan yang menyalahgunakan bayaran program subsidi upah.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, Perkeso akan menggantung pembayaran kepada majikan yang disyaki membuat tuntutan palsu sehingga siasatan ke atas aduan tersebut selesai.

“Dari 388 aduan, 232 dalam proses inkuiri,” kata Saravanan (BN-Tapah) ketika menjawab pertanyaan Charles Santiago (PH-Klang) mengenai tindakan akan diambil kementerian terhadap majikan yang enggan membayar subsidi upah kepada pekerja.

“Perkeso juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan 5 kes masih dalam siasatan SPRM,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Santiago sekiranya subsidi upah dapat dibayar terus kepada pekerja untuk mengelakkan isu penyalahgunaan, Saravanan berkata “kita akan kaji”. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427