PETALING JAYA: Malaysia masih belum bersedia memperluaskan kaedah pengundian secara pos kepada semua peringkat pengundi seperti dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) pada pilihan raya presiden baru-baru ini berikutan sistem undi pos digunakan di negara ini tidak direka untuk skala besar.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom berkata, terdapat juga unsur ketidakpercayaan terhadap sistem undi pos dalam kalangan orang awam, lebih-lebih lagi ia tidak pernah dilaksanakan secara terbuka sebelum ini.
“Jika kita laksanakan undi pos pada skala besar, adakah rakyat akan percayakannya?
“Sedangkan di AS, selepas memperoleh keputusan undian pos pada tempoh lama, masih terdapat tuduhan cubaan menipu walaupun tiada bukti untuk mengesahkannya,” katanya kepada FMT.
Mengenai saranan beberapa pihak supaya undi pos diperluaskan ke beberapa kumpulan, Azmi berkata SPR sebelum ini sudah menegaskan ia tidak akan diperluaskan kepada kategori lain selain senarai dibenarkan ketika ini.
Berdasarkan laman web SPR, 7 kategori pengundi pos dalam dan luar negara iaitu tentera, polis, petugas media, petugas pilihan raya sementara pengundi di luar negara membabitkan warga Malaysia di luar negara serta pelajar dan penjawat awam di luar negara.
Mengenai penambahbaikan kaedah berkempen jika pilihan raya diadakan ketika pandemik masih memuncak, Azmi berkata pihaknya masih berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kaedah terperinci dan perkara itu akan dimuktamadkan selepas rundingan selesai.
“Sejujurnya saya mahu (SOP berkempen) lebih ketat dilaksanakan,” katanya.
Malaysia dijangka berdepan pilihan raya umum dalam tempoh setahun ini. Justeru, pelbagai pihak menggesa SPR memperkenalkan kaedah undi melalui pos atau pengundian tanpa kehadiran bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 supaya gelombang ke-3 yang tercetus akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak berulang.
Keadaan berbeza
Sementara itu, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata, undi pos pada skala besar tidak boleh dilakukan dalam keadaan tergopoh-gapah kerana banyak perkara perlu diambil kira.
“Kita punya keadaan berbeza. Salah satunya, mentaliti. Buat itu salah buat ini salah. Jadi, bagi saya apa yang kita dah buat sekarang, kita teruskan saja,” katanya sambil menambah, jika mahu undi pos diperluaskan kepada semua pengundi, perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan perlu diubah dan ia sudah pasti akan mengambil masa lama.
Perkara itu turut dipersetujui penganalisis politik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi, yang menyifatkan isu kapasiti, logistik dan tempoh masa terhad akan menjadi hambatan kepada SPR untuk melaksanakan undi pos pada skala besar.
“Ia memandangkan pembubaran akan berlaku sebelum 2023 iaitu lebih awal dari tarikh penggal sebenar,” katanya.
Malah, isu ketelusan dalam proses pengundian secara pos juga akan menjadi pertikaian dalam kalangan parti politik.
“Yang kalah akan dakwa berlaku penyelewengan undi pos yang hanya baru dilaksanakan secara besar-besaran,” katanya memaklumkan undi fizikal jauh lebih jimat kerana kaedah pengundian pos akan membabitkan konsep baru yang perlu dipinda secara besar-besaran.
Bagi Awang Azman, isu undi pos bukan kebimbangan utama tetapi kaedah kempen digunakan ketika musim pilihan raya. Justeru, beliau mencadangkan e-kempen diperluaskan seperti ceramah atau debat secara maya.
“Apa yang paling penting, tiada kompromi terhadap isu SOP ketika berlaku pembubaran, penamaan dan kempen. Pelaksanaan SOP lebih ketat mampu menyelamatkan ancaman kesihatan kepada rakyat sejagat,” katanya. -FMT