Kumpulan umur 15 hingga 24 antara yang menderita akibat depresi

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Daripada 500,000 rakyat Malaysia yang dilaporkan menderita akibat depresi dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019), sebanyak 108,919 adalah belia, menurut Befrienders KL.

-Advertisement-

Mereka berusia antara 15 dan 24 tahun, kata pengarah publisiti Befrienders, Ardy Ayadali kepada FMT.

Katanya, mereka yang berumur 28 tahun ke bawah merangkumi 33% daripada panggilan yang diterima kumpulan sokongan itu tahun lalu.

Merujuk kepada situasi semasa, Ardy berkata orang tua mengalami tekanan emosi kerana mereka bekerja dari rumah atau hilang punca pendapatan.

Namun tambahnya, golongan belia lebih cenderung untuk mengalami depresi akibat tekanan akademik dan sosial.

“Tetapi punca depresi agak kompleks,” katanya.

“Pada remaja, ia termasuk keyakinan diri yang rendah dan kemahiran interpersonal yang lemah, yang menyebabkan mereka bergelut untuk menjaga hubungan dengan rakan dan keluarga.”

Beliau berkata, sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan generasi muda dan beliau mengesyorkan agar sekolah memasukkan topik seperti penjagaan diri, isu kesihatan mental dan kemahiran menangani tekanan ke dalam silibus.

Sementara itu, Sheila Menon, pengetua London College of Clinical Hypnosis Asia, berkata, keluarga mempunyai pengaruh besar terhadap kesihatan mental golongan belia.

-Advertisement-

Beliau berkata, ketiadaan kebahagiaan dalam rumah bermaknA kanak-kanak tidak mempunyai ruang selamat untuk meneroka emosi mereka, sambil menambah bahawa kadar kes cubaan bunuh diri dalam kalangan remaja meningkat dari 7.9% ke 10% dalam beberapa tahun lalu.

“Orang muda mungkin berasa terabai dan terasing serta kurang mempercayai orang yang terdekat,” katanya.

“Kadang-kadang orang muda mungkin berasa bersalah atas konflik dalam rumah dan berasa tertekan kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk membantu.”

Sheila berkata, persekitaran rumah yang tidak stabil akan membuatkan belia keluar lewat malam, menghabiskan lebih banyak waktu dengan rakan atau bereksperimen dengan alkohol dan bahan lain sebagai satu mekanisme pertahanan.

Katanya, hipnoterapi adalah salah satu kaedah paling berkesan untuk mencegah kejadian depresi, sambil menambah bhawa Kementerian Kesihatan telah memasukkan hipnosis sebagai satu kaedah rawatan untuk merawat gangguan depresi utama dalam Garis Panduan Amalan Klinikal 2019.

“Satu salah faham bahawa hipnosis membuat anda melakukan perkara yang anda tidak mahu lakukan, tetapi sebenarnya mereka mengawal keadaan sepenuhnya,” katanya.

“Hipnosis klinikal membantu pesakit mendapatkan semula dan menggunakan fokus positif, yang selalunya hilang ketika mengalami depresi. Ini dapat membetulkan semula sikap mengalah dan membantu menghilangkan corak pemikiran negatif.”

Beliau mencadangkan agar ibu bapa ikut serta dalam sesi terapi untuk belajar bagaimana mereka boleh memberikan sokongan terbaik kepada anak-anak yang mungkin malu untuk meluahkan masalah mereka.-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427