Dua lelaki ditahan seludup air ketum guna beg penghantar makanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Menggunakan motosikal penghantar makanan untuk mengedar air ketum adalah taktik digunakan dua suspek lelaki tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa di Jinjang, di sini, Ahad lepas.

-Advertisement-

Taktik berkenaan dikesan polis yang sedang membuat rondaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 menghala ke Batu Caves apabila mendapati motosikal ditunggangi suspek dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shamugamoorthy Chinniah berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, polis peronda meminta suspek untuk memberhentikan motosikal tetapi suspek bertindak berpusing balik dan melawan arus jalan sehala menghala ke Jinjang.

Beliau berkata polis peronda mengekori suspek yang berusia 18 hingga 23 tahun itu sehingga motosikal yang dinaiki mereka telah melanggar sebuah kereta sebelum kedua-duanya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg penghantar makanan berwarna merah jambu, polis telah menjumpai empat bungkusan warna hijau disyaki air ketum.

-Advertisement-

“Selain itu, hasil siasatan mendapati suspek saling mengenali selama empat tahun dan mengakui pinjam beg belakang (food panda) daripada seorang kawan,” katanya ketika dihubungi.

Shamugamoorthy berkata tujuan suspek menggunakan beg penghantar makanan adalah untuk mengelak dan mengaburi polis yang membuat sekatan jalan raya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Polis menasihati orang ramai bahawa modus operandi digunakan suspek untuk mengedar, membawa dan mengirim dadah dengan menggunakan penghantar makanan telah dikesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat awal oleh polis.

“Begitu juga modus operandi secara penghantaran perdana menggunakan kereta mewah sudah mula dikesan,” katanya. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427