Kementerian galak warga tempatan bekerja dalam sektor perladangan, komoditi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Pekerja tempatan digalakkan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi di saat industri tersebut menghadapi kekurangan tenaga kerja susulan pandemik COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

-Advertisement-

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pihaknya menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi dan kemajuan industri agrikomoditi negara.

“Pada masa sama, keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi. Oleh itu, kementerian berpandangan bahawa kemasukan pekerja asing yang masih tidak dibenarkan ke negara ini adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa.

“Tambahan pula, dalam keadaan ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan pekerja asing dihadkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata kementerian akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan orang asli bekerja dalam sektor ini.

-Advertisement-

“Kementerian akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi selain memperkasakan modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal dalam sektor sawit dan getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.

“Kementerian dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan.

“Kementerian turut berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi pekerjaan tempatan untuk tampil dan membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja dalam sektor tersebut.

“Ia penting agar usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan,” katanya. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427