Kawasan hartanah komersial baru mungkin kosong setahun, kata pakar

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pelabur yang baru-baru ini membeli hartanah komersil siap dibina mungkin perlu menunggu hingga setahun untuk mencari penyewa, menurut pakar hartanah.

-Advertisement-

Mereka berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan ahli perniagaan enggan berkembang ke kawasan baru dibangunkan.

Satu klip video menunjukkan sepanduk iklan penyewaan lot kedai yang digantung pada bangunan di Bandar Tropicana Aman tular minggu lalu, dan pemilik restoran di kawasan itu memberitahu FMT, kebanyakan lot kosong sejak tapak itu siap tahun lalu.

Presiden Persatuan Penilai, Pengurus, Ejen dan Perunding Harta Swasta Malaysia, Michael Kong berkata, hartanah baru di pinggir Lembah Klang akan berdepan kesukaran kerana bekalan bertambah dengan pesat, tetapi permintaan berkurangan akibat pandemik.

“Ini sangat sukar bagi semua orang kerana perniagaan tidak baik dan banyak perniagaan ditutup.

“Apabila anda mempunyai banyak bekalan ditawarkan serentak, anda akan mengalami kesukaran mendapatkan penyewa.”

-Advertisement-

Kong berkata, ia “dengan mudah mengambil 6 bulan hingga setahun” untuk keadaan bertambah baik.

Katanya, walaupun kejayaan menghasilkan vaksin dapat membantu menormalkan pasaran sewa, ekonomi memerlukan masa untuk pulih daripada pandemik, yang akan melanjutkan penantian untuk pasaran pulih.

Tang Chee Meng, ketua pegawai operasi perunding aset, Henry Butcher, berkata pandemik memburukkan lagi masalah yang dihadapi pelabur di hab komersial baru.

“Secara umum, kawasan baru dibangunkan biasanya memerlukan masa lebih lama untuk mendapatkan penyewa,” katanya sambil menambah “ia banyak bergantung kepada lokasi projek dan sama ada ia terletak berdekatan kemudahan sosial”.

Beliau berkata, “dengan pandemik yang menjejaskan perniagaan, tidak mungkin pengusaha akan terburu-buru membuka kedai baru”, terutamanya jika kawasan baru dibangunkan itu tidak memiliki kemudahan seperti akses kepada pengangkutan awam.

Katanya, bakal penyewa memerlukan insentif kuat seperti “kadar sewa sangat rendah atau pengumuman pembangunan atau projek prasarana baru yang akan bermula di kawasan itu tidak lama lagi”. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427