KUALA PILAH, 27 Okt — Pembudayaan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan wabak COVID-19 bukanlah perkara yang mudah untuk dilaksana ketika mula-mula hendak diterapkan dalam kehidupan masyarakat di negara ini.
Namun, amalan itu kini sudah menjadi kebiasaan berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi melandaikan lengkung ancaman pandemik COVID-19.
Pemakaian pelitup muka, tidak bersentuhan serta bersalaman, melaksanakan kerja dan pembelajaran dalam talian di rumah, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal merupakan satu perkara yang tidak asing lagi dilakukan bagi kebanyakan individu pada masa ini.
Baik di kediaman, tempat kerja, sekolah, institusi pengajian tinggi malah di tempat awam, pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah amat dituntut.
Bagi menghilangkan kegusaran ibu bapa dan pelajar selain memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan dengan lancar meskipun negara masih berdepan ancaman COVID-19, pendekatan dilaksanakan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di sini, yang dirangka penuh teliti berjaya meyakinkan mereka.
Malah ketika ini, terdapat kira-kira 100 pelajar tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman dan mengikuti PdP yang dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka di kelas, susulan kampung mereka berada di zon merah COVID-19, berbanding pelajar lain yang melaksanakan aktiviti PdP sepenuhnya dalam talian.
Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Shahrom Shaari berkata pelbagai garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memberi fleksibiliti kepada kolej matrikulasi di seluruh negara supaya pelajar dapat mengikuti pembelajaran yang berterusan dalam keadaan selesa dan selamat.
“Antaranya proses pendaftaran bagi pengambilan pelajar sesi lepas dilaksana secara maya (e-pendaftaran) termasuklah proses mengemas kini maklumat diri dan memuat naik slip pembayaran yuran serta maklumat awal tentang kelas, jurusan, modul dan jadual kelas dimaklumkan menerusi aplikasi Telegram terlebih dahulu.
“Melalui e-pendaftaran, ia mengurangkan tempoh bersemuka dan pergerakan dalam kolej yang hanya melibatkan proses mengambil kunci bilik dan pelajar terus mendaftar di kolej kediaman,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pembudayaan norma baharu itu bukan sahaja dipraktikkan ketika proses PdP, malah diperluaskan di kolej kediaman pelajar dengan menjarakkan kedudukan katil pelajar satu meter selain penyediaan bilik khas sebagai bilik isolasi bagi pelajar yang bergejala sebelum dihantar untuk mendapatkan rawatan.
“Ibu bapa dan pelajar jangan bimbang dan letakkan keyakinan kepada pihak pengurusan Kolej Matrikulasi yang telah mengambil semua langkah perlu untuk membendung wabak itu daripada menular ke komuniti kampus,” katanya.
Melalui tinjauan Bernama, sebaik sahaja memasuki kawasan pagar Kolej Matrikulasi, pelajar, kakitangan atau pelawat perlu mengimbas suhu badan, dicatatkan nama, nombor telefon serta diminta untuk menggunakan cecair pensanitasi tangan yang disediakan.
Malah, di kawasan seperti kelas dan perpustakaan, kolej berkenaan menetapkan laluan masuk dan keluar yang berlainan, selain meja di kelas turut dijarakkan satu meter.
Pensyarah Biologi di Jabatan Sains kolej berkenaan, Noorhidayah Zainal berkata rekod kehadiran pelajar ketika PdP dilangsungkan dalam talian adalah sangat baik, sekali gus menunjukkan minat mereka dalam pembelajaran tidak terbatas meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Bagi PdP kuliah, pelajar mengikuti kelas sepenuhnya secara dalam talian dan tugasan perlu dihantar kepada pensyarah di akhir sesi kuliah, sementara kehadiran pelajar secara dalam talian yang menggunakan aplikasi zoom meeting, google meet dan sebagainya direkodkan sebagai bukti kehadiran pelajar bagi sesi PdP tersebut.
“Sekiranya pelajar tidak dapat hadir kerana masalah capaian Internet, mereka boleh mengakses bahan PdP melalui portal dan bertanya dalam aplikasi WhatsApp atau Telegram,” katanya.
Sementara itu, pelajar jurusan perakaunan Alya Alisha Jamaluddin, 18, berpendapat PdP yang pada awal dilaksanakan secara sepenuhnya dalam talian sedikit sukar memandangkan ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Namun, kaedah itu nyata lebih baik kerana boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Kami faham segala dilakukan oleh kolej adalah demi kebaikan semua pihak dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 walaupun agak sukar pada awalnya, tapi kita ada cara untuk atasinya,” kata beliau. -BERNAMA