JOHOR BAHRU, 26 Okt — Seorang pengerusi Koperasi Peladang di Pekan Nanas, Pontian dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM300,000, September lepas.
Alan Lim Boon Siong, 41, Pengerusi Koperasi Peladang Jaya Pekan Nanas sejak 2015 mengaku melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah bank di Pekan Nanas pada 1 dan 7 Sept lepas.
Hakim Aizatul Akmal Maharani menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut secara berasingan, bermula hari ini.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Lim, didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memindahkan dana koperasi berjumlah RM100,000 dan RM200,000 ke dalam akaun peribadi miliknya.
Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chai Ing Hien memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tindakan tertuduh adalah terancang dan menyebabkan kerugian kepada koperasi.
Lim yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menanggung isteri dan ibu bapa yang sudah berusia. -BERNAMA