Johor berpeluang tingkat nilai dagangan dengan manfaatkan ekonomi Indonesia

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU, 23 Okt — Johor memiliki ruang dan peluang untuk meningkatkan lagi nilai dagangan dengan Indonesia, khususnya Kepulauan Riau, susulan ekonomi republik itu diunjurkan lebih berdaya tahan dan mampan pada suku ketiga tahun ini.

-Advertisement-

Konsul Hal Ehwal Ekonomi, Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di sini, S. Ari Wardhana berkata ini didorong lokasi strategik Johor dalam kawasan Segitiga Pertumbuhan Singapura-Johor-Riau (SIJORI), dengan Riau merupakan antara 15 Zon Ekonomi Khas Indonesia.

Beliau berkata SIJORI diwujudkan sejak 1993 dilihat berjaya memberi manfaat kepada ketiga-tiga negara yang menyertainya menerusi pelbagai aktiviti ekonomi.

“Pada September tahun ini sahaja, contohnya, nilai eksport produk bukan gas Indonesia ke Malaysia adalah sebanyak US$66.4 juta (RM275.33 juta; USD1=RM4.15), menjadikan Malaysia kekal sebagai 10 negara teratas dalam kalangan rakan eksport Indonesia.

“Jadi sudah tentu ini merupakan isyarat yang baik kepada kerjasama SIJORI yang ketika ini masih lagi berterusan antara ketiga-tiga negara,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, potensi dagangan sebenar yang boleh diterokai menerusi kerjasama itu diyakini belum dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus memberi peluang kepada Johor dan Riau untuk meningkatkan lagi nilai ekonomi masing-masing.

Ari berkata bagi Johor sendiri, kerjasama strategik melalui SIJORI secara tidak langsung telah membantu negeri ini menerima pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai hampir RM8.5 bilion untuk tempoh 2013 hingga 2019.

-Advertisement-

“Nilai ini sekali gus menjadikan Indonesia sebagai negara kedua tertinggi yang melabur di Johor dalam sektor pembuatan, selepas Belanda.

“Sehubungan itu, antara sektor yang boleh dipertingkat lagi termasuk pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan kerana asas kepada sektor berkenaan telah sedia ada antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata Johor dan Riau mempunyai kekuatan ekonomi yang hampir sama namun aspek berkenaan tidak boleh menjadi sebab untuk bersaing sesama sendiri sebaliknya perlu bersifat saling melengkapi.

“Bagi mengelakkan kedua-dua negara melihat sesama sendiri sebagai pesaing, perlu untuk terus meningkatkan komunikasi sedia ada dengan mengadakan pertemuan, lawatan kerja atau perbincangan melibatkan pelbagai sektor berbeza.

“Selain itu, promosi berhubung kerjasama SIJORI ini juga perlu dipertingkat untuk terus menarik minat pemain industri membuat pelaburan berskala besar yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada negara anggota serta penduduk setempat,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad mengatakan hasrat kerajaan negeri yang mahu kerjasama SIJORI diaktifkan semula berdasarkan potensi besar yang boleh diraih. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427