KOTA KINABALU: Impian Sabah untuk menjadi pengeluar utama minyak dan gas tergugat berikutan keputusan Shell untuk menarik diri dari negeri itu secara besar-besaran.
Penarikan diri itu, walaupun tidak akan menghentikan operasi, bakal melumpuhkan dari sudut pandang visual dan ekonomi.
Pada masa ini, operasi huluan dan hiliran syarikat antarabangsa itu bertempat di Plaza Shell setinggi 14 tingkat, yang merupakan bangunan mercu tanda yang dimiliki oleh syarikat pembinaan Kumpulan Hup Seng, terletak di pusat kawasan perniagaan bandar raya di sini, dengan 200 kakitangan Shell mengisi 4 tingkat bangunan itu.
Ia merupakan detik bersejarah ketika syarikat membuka pejabatnya di situ pada November 2015.
Pengurusan tertingginya dilaporkan berkata, langkah itu menandakan kehadiran lama, perkongsian dan kemajuan yang dicapai oleh Shell di Sabah.
Bagaimanapun sumber mendakwa, dalam mesyuarat dalaman minggu lepas, kakitangan syarikat berkenaan diberitahu bahawa Shell akan memperkecilkan operasinya di Kota Kinabalu dan berpindah ke Miri, Sarawak yang merupakan ibu pejabat huluan syarikat tersebut.
Sumber juga berkata, kakitangan dari pejabat huluan di Kuala Lumpur juga akan dipindahkan ke Miri.
Dalam emel balasan kepada FMT, Shell Malaysia mengesahkan eksesais itu akan berlaku, tetapi tidak memperincikan bilangan kakitangan terlibat, lokasi destinasi dan sebab utama langkah itu diambil.
“Kami akan mengurangkan kehadiran pejabat di Kota Kinabalu, bagaimanapun Sabah kekal merupakan negeri penting Shell,” kata syarikat itu.
“Kami komited pada operasi huluan dan hiliran laut dalam kerana ia menyumbang kepada pembangunan komuniti di Sabah.”
Menteri Muda Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak Sebastian Ting, yang dipetik oleh laporan Borneo Post berkata, beliau menyokong penuh rancangan Shell untuk membuka pejabat baru di Miri.
Beliau berkata, menurut sumber, Shell mahu membuka pejabat baru di situ yang boleh menampung sekurang-kurangnya 1,400 kakitangan, dengan sebahagiannya dari pejabat di wilayah lain.
Beliau menyambut baik langkah itu dengan berkata, ia akan membawa durian runtuh ekonomi ke Miri.
Penganalisis O&G Renato Lima de Oliviera berkata, langkah itu mungkin disebabkan beberapa faktor, tetapi sebab utamanya ialah harga minyak yang rendah tahun ini, yang masih belum pulih sehingga kini, selain meningkatnya proses transisi tenaga.
“Oleh sebab itu, langkah mengurangkan kos berlaku di mana-mana. Semua syarikat minyak utama mengurangkan perbelan jaan modal dan kos pentadbiran. Justeru tidak memeranjatkan sekiranya kakitangan sesebuah syarikat diperkuat di satu-satu kawasan tertentu.
“Saya fikir persoalannya ialah pilihan negeri yang dibuat dan berapa banyakkah penjimatan syarikat berikutan langkah itu. Mungkin ada sebab-sebab strategik, operasi dan perakaunan di sebaliknya,” kata de Oliveira yang merupakan penolong profesor di Asia School of Business.
Dari sudut pandang pemilik syarikat, presiden Persatuan Majikan Sabah Yap Cheen Boon berkata, langkah itu mungkin tidak memberi kesan besar ke atas pekerjaan.
Bagaimanapun beliau bertanya sama ada langkah tersebut akan memberi kesan ke atas imej negeri dan keyakinan pelabur berikutan langkah yang diambil oleh pemain utama industri itu.
“Mari kita lihat angkanya, 22.5% KDNK Sabah disumbang oleh industri minyak dan gas serta hanya 81,000 orang bekerja dalam sektor tersebut, walaupun ia penting.
“Mereka merupakan pekerja bergaji tinggi di Sabah menandakan komponen teknologi yang juga tinggi dalam sektor itu.
“Justeru langkah Shell menarik keluar operasi huluannya dari Sabah tidak akan memberi kesan besar ke atas pekerjaan, tetapi sudah pasti (antara lain) mempengaruhi sentimen perniagaan,” katanya kepada FMT.
Yap berkata, langkah pemain utama keluar dari Plaza Shell akan menimbulkan rasa tidak selesa kerana kerajaan Sabah berusaha secara aktif untuk “terlibat dalam permainan minyak dan gas”.
“Selain itu peluang bagi rakyat tempatan untuk dilatih dan diambil bekerja dalam aktiviti perniagaan huluan minyak dan gas akan berkurangan,” katanya selain menambah bahawa ia juga akan memberi kesan ke atas KDNK Sabah melalui cukai dan duti yang perlu dibayar kepada negeri.
“Justeru dari sudut ekonomi, penarikan diri mana-mana syarikat sudah tentu tidak baik, sedangkan sebaliknya perniagaan dan pelaburan sepatutnya masuk ke dalam negeri.”
Yap berkata, kesan ekonomi ke atas ibu negeri itu akan dirasai.
“Bayangkan 1,000 orang berpendapatan tinggi akan menyumbang kepada industri di Kota Kinabalu setiap hari. Bayangkan juga 100 atau 200 orang ditarik keluar dari Sabah, secara serta-merta penggunaan dan perbelanjaan di Kota Kinabalu akan jatuh.”
Dalam pada itu, de Oliviera berkata, malangnya unjuran pertumbuhan masa depan pengeluaran bagi negeri Sabah tidak memberangsangkan.
“Pada masa ini, kira-kira 20% pengeluaran minyak dan gas negara datangnya dari negeri ini, iaitu kira-kira 317,000 tong sehari.
“Bagi 2030, angka itu dijangka meningkat sedikit kepada 378,000 tong, iaitu mencec ah 24% pengeluaran Malaysia.
“Sarawak sebaliknya dijangka mengeluarkan antara 802,000 hingga 973,000 tong sehari dengan sumbangan 63% kepada pengeluaran keseluruhan minyak dan gas negara ini.
“Jelas bahawa isipadu pengeluaran kini berpindah ke Malaysia Timur, lebih-lebih lagi ke Sarawak. Justeru tumpuan pengeluaran akan mendorong lebih banyak sumber, termasuk modal insan, berpindah ke negeri itu, jika faktor lain kekal konstan,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, ramalan pengeluaran masa depan itu dibuat berdasarkan lapangan minyak sedia ada dan yang belum ditauliahkan, dengan menambah bahawa keadaan boleh berubah dengan lebih banyak aktiviti eksplorasi dan penemuan baru dibuat di Sabah.
Selain operasi hiliran, Shell juga mempunyai lapangan minyak laut dalam di luar persisir Sabah, iaitu di Gumusut-Kakap dan Malikai, yang mengeluarkan sejumlah 220,000 tong sehari.
Operasi luar persisir syarikat berkenaan bermula pada 1958 apabila Shell menggali periginya yang pertama di Lembangan Sabah. -FMT