NGO gesa kerajaan bebas lebih ramai banduan, sekat jangkitan Covid-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan memperluaskan skop banduan yang layak dibebaskan dengan kebenaran (ROL) bagi mengurangkan kapasiti penjara berikutan penularan wabak Covid-19 di pelbagai pusat tahanan.

-Advertisement-

Pada Sabtu, kes jangkitan harian tertinggi sebanyak 869 dilaporkan di seluruh negara, dengan 186 daripadanya dikesan di Penjara Reman Pulau Pinang, Penjara Seberang Perai dan Penjara Alor Setar.

Walaupun kerajaan berjanji untuk memberi ROL kepada pesalah kecil yang dijatuhi hukuman penjara kurang setahun dengan baki tempoh tahanan kurang 3 bulan, LFL mahu ia diperluaskan untuk turut merangkumi pesalah jenayah bukan ganas, banduan yang telah menyudahkan 2/3 tempoh hukuman dan banduan daripada kelompok berisiko.

“Tidak ada maklumat mengenai bilangan banduan yang dibebaskan di bawah syarat sebelum ini (baki tempoh tahanan kurang 3 bulan). Skopnya terlalu sempit untuk benar-benar dapat mengatasi masalah kesesakan atau menyekat penularan virus,” kata NGO hak asasi manusia itu dalam kenyataan hari ini.

LFL berkata, orang asing atau imigran yang kini ditahan reman, disabitkan kesalahan kecil atau pelanggaran peraturan imigresen hendaklah dihantar pulang serta-merta ke negara asal mereka.

“SOP yang diperketatkan seperti dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak akan membawa kesan besar sekiranya kapasiti penjara tidak dikurangkan.

-Advertisement-

“Dilaporkan bahawa kemudahan penjara sedia ada yang bertujuan menampung 52,000 tahanan kini menempatkan 73,000 banduan.

“Ini menghapuskan kebaikan mana-mana SOP yang ditetapkan,” katanya dengan menambah bahawa selain tahanan, pegawai penjara dan keluarga mereka juga terdedah kepada risiko.

LFL merujuk Perkara 5 perlembagaan persekutuan yang menjamin “hak nyawa dan kebebasan” dengan berkata, ia mesti dipertahankan tanpa mengira sabitan atau pertuduhan jenayah yang dihadapi oleh mana-mana orang.

Terdapat laporan yang menyebut sesetengah negara membebaskan banduan mereka sebaik sahaja Covid-19 diisytihar sebagai pandemik.

Ini termasuklah Indonesia, yang membebaskan 30,000 tahanannya pada April; Turki, yang meluluskan rang undang-undang pembebasan 90,000 banduan pada bulan yang sama dan Iran yang membebaskan 100, 000 orang sehingga kini. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427