Lebih baik swasta Firefly, Putrajaya diberitahu

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan menteri dan pakar penerbangan menggesa Putrajaya mempertimbangkan langkah menswastakan Firefly dengan berkata, dana dan pemilikan kerajaan secara langsung mungkin bukan model yang mampan untuk operasi syarikat penerbangan walaupun selepas penerbangan antarabangsa bermula semula.

Bekas menteri pengangkutan Aziz Kaprawi dan pakar penerbangan Roger Teoh berkata, pengurusan swasta terbukti merupakan pendekatan yang lebih berjaya.

Mereka berkata demikian susulan dana pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd berkata, pihaknya mungkin memilih untuk menyalurkan wang ke Firefly sekiranya Malaysia Airlines gagal dan menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional baru.

Aziz berkata, ia adalah “titik tolak baru bagi industri itu”, yang memberi peluang kepada “kerajaan dan sektor swasta untuk duduk dan merangka pelan baru”.

“Sebuah negara tidak lagi memerlukan syarikat penerbangan yang dibiayai oleh kerajaan atau milik kerajaan,” katanya.

“Ia boleh dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.”

Beliau berkata, kerajaan boleh memainkan peranan sebagai penyokong dengan menggubal dasar yang merangsang perjalanan udara dan membantu syarikat penerbangan menjimatkan kos.

“Model AirAsia sangat berkesan dan ia betul-betul milik swasta,” katanya, dengan menambah bahawa tidak adil untuk menilai syarikat penerbangan dengan melihat situasi sekarang kerana setiap syarikat berdepan masalah akibat pandemik Covid-19.

Teoh berkata, “syarikat penerbangan yang paling berjaya dan menguntungkan” biasanya diswastakan.

“Sebab utama di sebalik penswastaan adalah kerana ia menyediakan insentif kepada syarikat untuk lebih cekap dalam operasinya dan meminimumkan pembaziran,” katanya.

“Pasaran berfungsi dengan baik apabila pelabur mempunyai perasaan takut rugi yang munasabah.”

Namun Teoh juga mengakui tentang “kemerosotan permintaan” yang wujud kini dan belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, bantuan kerajaan diperlukan dalam jangka pendek bagi meminimumkan kehilangan pekerjaan dan merapatkan jurang antara permintaan semasa dengan permintaan semasa tempoh pulih.

Sementara itu, pengerusi Lembaga Perwakilan Penerbangan Malaysia (BAR-Malaysia) Suresh Singham enggan mengulas berhubung situasi khusus yang dihadapi syarikat penerbangan, tetapi berkata, terdapat beberapa cara bagi kerajaan menyokong industri itu tanpa mendanainya secara langsung.

“Berdasarkan fasa pemulihan pasca pandemik, dengan kerajaan menyediakan beberapa insentif untuk merangsang industri penerbangan dan mempercepat pemulihan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar subsidi gaji, pelepasan cukai dan rebat ditawarkan kepada syarikat penerbangan bagi membolehkannya mengurangkan kos keseluruhan operasi mereka. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464