Penganggur hadapi dua tuduhan edar dadah

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEPANG, 24 Sept — Seorang penganggur yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 Sabtu ini, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah.

-Advertisement-

Bagi pertuduhan pertama, Wong Yaw Heng, dari Sandakan, Sabah didakwa mengedar 1.04 kg ketamine di aras tiga, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 10 Sept lepas pada kira-kira pukul 10.15 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh mengedar 4.2 kg methamphetamine di tempat dan tarikh yang sama pada kira-kira pukul 12 tengahari.
Untuk kedua-dua pertuduhan itu, Wong dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 sebatan.

Wong yang berbaju lokap polis kelihatan tenang dalam kandang tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

-Advertisement-

Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Seorang daripada dua anggota keluarganya yang berada di dalam mahkamah untuk mengikuti prosiding dilihat menitiskan air mata.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan sebutan semula pada 10 Nov sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan sementara tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427