Majikan boleh ambil tindakan terhadap pekerja sembunyi masalah kesihatan mental

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Persatuan Kesihatan Mental Malaysia menasihatkan pekerja yang mempunyai masalah kesihatan mental memaklumkan majikan, walaupun mereka berisiko didiskriminasi.

-Advertisement-

Presidennya, Dr Andrew Mohanraj memberi amaran yang majikan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja yang menyembunyikan penyakit mereka.

“Sebarang maklumat relevan yang tidak didedahkan boleh dianggap sebagai penipuan,” katanya kepada FMT.

“Sekiranya seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental tidak mendedahkannya ketika diambil bekerja, majikan mempunyai kelebihan untuk mengambil tindakan terhadapnya atau tidak menyokongnya.”

Mohanraj mengakui pendedahan itu kemungkinan besar akan menyebabkan permohonan kerja mereka ditolak.

“Majikan bimbang dengan ketidakhadiran, prestasi kerja lemah dan isu keselamatan. Ini disebabkan kurangnya pemahaman terhadap masalah kesihatan mental.”

Beliau mendapati kekurangan peruntukan khas di bawah Akta Kesihatan Mental untuk melindungi pekerja dengan masalah kesihatan mental daripada sebarang bentuk diskriminasi di tempat kerja.

Tetapi katanya, Akta Orang Kurang Upaya mencadangkan “penyesuaian munasabah” untuk memastikan individu yang mengalami kecacatan mental dan lain mempunyai kualiti hidup sama dengan orang biasa.

-Advertisement-

“Pada akhirnya, ia berkaitan obligasi kontraktual dan pendedahan (maklumat). Tidak ada masalah jika seorang pekerja menghidap penyakit mental atau fizikal, menerima rawatan dan pulih dalam jangka masa ditentukan. Majikan tidak ada alasan untuk memecat pekerja tersebut.”

Mohanraj mencadangkan Akta Pekerjaan dipinda untuk menyenaraikan peruntukan terhadap diskriminasi di tempat kerja.

“Tiada orang patut berdepan diskriminasi berdasarkan penyakit fizikal atau mental, kecuali ia jelas penyakit itu tidak boleh dikawal atau terdapat keadaan tertentu yang pasti akan mengganggu prestasi kerja, walaupun pernah dirawat atau sedang dirawat ketika diambil bekerja.”

Katanya, insurans perubatan untuk pekerja dengan perlindungan kesihatan mental akan membantu mengurangkan diskriminasi dan stigma di tempat kerja.

Minggu lalu, sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) melancarkan pusat aktiviti dan pengurusan krisis di Orchid Clubhouse, di sini.

Ia adalah kemudahan pertama di negara ini untuk individu yang mengalami atau sedang pulih daripada masalah kesihatan mental, dengan menyediakan ruang selamat dalam masyarakat yang menyokong pemulihan mereka.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427