Eksport naik 3.1 peratus, lebihan dagangan meningkat 57.5 peratus pada Julai 2020 – MITI

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Eksport Malaysia pada Julai 2020 meningkat 3.1 peratus kepada RM92.53 bilion berbanding Julai 2019 sekali gus menjadi eksport Julai yang tertinggi dicatatkan setakat ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

-Advertisement-

Menurutnya, ini juga merupakan eksport kedua tertinggi yang pernah direkodkan selepas RM97.12 bilion pada Oktober 2018, manakala import pada bulan yang sama berkurangan 8.7 peratus kepada RM67.38 bilion.

“Lebihan dagangan berkembang 57.5 peratus kepada RM25.15 bilion berbanding RM15.97 bilion pada Julai 2019 dan merupakan lebihan dagangan yang tertinggi direkodkan setakat ini,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, MITI berkata jumlah perdagangan pada Julai 2020 menyusut 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM159.92 bilion disebabkan perdagangan yang rendah direkodkan dengan Australia, Thailand, Korea, Indonesia dan Jepun.

“Sementara itu, perdagangan yang lebih tinggi dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), India, Bahrain, China, Taiwan, Singapura dan Hong Kong,” katanya.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import pada Julai 2020 masing-masing mencatatkan peningkatan 10.4 peratus, 11.7 peratus dan 8.7 peratus, manakala lebihan dagangan naik 20.6 peratus, katanya.

Menurut kementerian, bagi tujuh bulan pertama 2020, jumlah perdagangan bernilai RM993.22 bilion, menguncup 6.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019.

“Perdagangan yang lebih rendah adalah melibatkan Thailand, Singapura, India dan Jepun manakala kenaikan perdagangan direkodkan dengan Korea, AS dan Bahrain,” katanya.

MITI berkata eksport dalam tempoh ini bernilai RM541.47 bilion, berkurangan 6.2 peratus, manakala import berjumlah RM451.75 bilion, penurunan 7.4 peratus, dengan lebihan dagangan menokok 0.8 peratus kepada RM89.72 bilion.

Jelasnya, pada Julai 2020, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 87.5 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 4.7 peratus tahun ke tahun kepada RM80.94 bilion.

“Ini berikutan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan perkilangan lain terutamanya solid-state storage devices (SSD), barangan optik dan saintifik, barangan kayu serta barangan besi dan keluli,” katanya.

Eksport keluaran pertanian (menyumbang 7.1 peratus kepada jumlah eksport) naik 30.4 peratus tahun ke tahun kepada RM6.57 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, katanya.

Menurutnya, perdagangan dengan negara-negara ASEAN pada Julai 2020 menyumbang RM40.95 bilion atau 25.6 peratus kepada jumlah perdagangan di Malaysia, berkurangan 5.1 peratus berbanding Julai 2019.

“Eksport meningkat 0.1 peratus kepada RM25.58 bilion, disokong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E. Import dari ASEAN menyusut 12.6 peratus kepada RM15.36 bilion,” kata MITI.

-Advertisement-

Mengenai perdagangan dengan China, MITI berkata pada Julai 2020 ia menokok 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM29.44 bilion, mewakili 18.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport ke China terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut, berkembang 13.9 peratus kepada RM15.58 bilion.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh kenaikan eksport barangan besi dan keluli, barangan perkilangan lain (SSD), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam,” katanya dan menurutnya import dari China merosot 8.9 peratus kepada RM13.86 bilion.

Sementara itu MITI berkata, perdagangan dengan AS pada Julai mencatat peningkatan 21.7 peratus tahun ke tahun kepada RM17.47 bilion, merangkumi 10.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport melonjak 28.6 peratus kepada RM11.16 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan perkilangan seperti barangan E&E, keluaran getah, barangan kayu, keluaran petroleum serta jentera, kelengkapan dan peralatan,” katanya dan menurutnya import dari AS naik 11 peratus kepada RM6.31 bilion.

Menurut MITI, jumlah perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang mewakili 7.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2020 menguncup 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM12.48 bilion.

“Eksport meningkat 3.4 peratus kepada RM7.71 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, manakala import dari EU berkurangan 20.5 peratus kepada RM4.77 bilion,” katanya.

MITI berkata, bagi perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 6.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2020, ia menyusut 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM9.89 bilion.

“Eksport berkurangan 2.8 peratus kepada RM5.2 bilion berikutan pengurangan eksport LNG.

“Bagaimanapun, penurunan ini telah diimbangi oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan perkilangan dan keluaran pertanian ke Jepun, masing-masing meningkat 3.5 peratus dan 10.7 peratus,” katanya.

Ia berkata, pertumbuhan eksport ke Jepun disokong oleh barangan E&E, keluaran getah, barangan optik dan saintifik, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta keluaran petroleum, manakala import dari Jepun susut 11.8 peratus kepada RM4.7 bilion.

Perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 65.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2020 berkurangan 3.9 peratus kepada RM105.05 bilion.

“Eksport ke negara rakan dagang FTA bernilai RM62.72 bilion, meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun, manakala import menguncup 11.4 peratus kepada RM42.32 bilion,” katanya.

-BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427