KOTA BHARU, 27 Ogos — Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan enam buah lori tangki bagi persediaan menghadapi gangguan bekalan air di Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu yang melibatkan 38,018 akaun pengguna, bermula hari ini sehingga Sabtu.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Latihan AKSB Mat Noor Awang berkata gangguan bekalan air itu berlaku susulan kerja-kerja kecemasan pembaikian paip air mentah jenis GRP bersaiz 1,100 mm yang pecah di Kampung Pulai Chondong.
“Kerja-kerja oleh kontraktor itu bermula hari ini dan dijangka selesai 10 malam pada Sabtu. Ia dijangka mengambil masa tiga hari berikutan kebocoran yang besar dan faktor kedalaman paip di tapak kejadian.
“Justeru, loji Rawatan Air Merbau Chondong di Machang akan dihentikan sementara waktu bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikian tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat AKSB di sini, hari ini.
Mat Noor berkata pihaknya telah mengurus penghantaran air melalui lori tangki secara 24 jam dalam tempoh gangguan itu selain pengisian air ke tangki statik kepada pelanggan yang terjejas.
“AKSB memohon maaf atas kesulitan kepada pelanggan dan memastikan kerja-kerja tersebut dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya menambah tangki statik berkapasiti 500 gelen juga ditempatkan di lokasi terpilih, mengikut keperluan.
“Kami anggarkan melebihi 100 buah kampung terlibat membabitkan tiga jajahan itu,” katanya.
Pengguna yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian aduan di 15777 atau Whatsapp ke 019575577.
-BERNAMA