GERIK: Dua pemandu maut apabila dua lori dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli dekat, Hentian Perah di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam membabitkan lori tiga tan yang membawa muatan ikan dengan sebuah lori tanpa muatan itu juga menyebabkan dua lagi mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood, berkata kedua-dua pemandu maut akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, Siti Addina Sofea, seorang pelajar tingkatan satu mengalami kecederaan di kedua-dua matanya dan dihantar ke Hospital Ipoh, manakala Muhammad Hilmi hanya cedera ringan di jari kanan dan dahi.
Zulkifli berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 9.45 malam tadi dan segera menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori muatan ikan sedang dalam perjalanan ke arah Jeli, manakala lori tanpa muatan sedang menghala ke Gerik.
“Apabila sampai di tempat kejadian di laluan selekoh, pemandu lori tanpa muatan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori muatan ikan,” katanya.
Zulkifli berkata, kedua-dua mayat mangsa berada di Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat hari ini.
-BH