PETALING JAYA: Seramai 98 individu ditahan atas kesalahan ingkar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam, dengan aktiviti dalam pub dan kelab malam mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 34 kes.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yakob berkata, daripada jumlah itu seramai 95 individu dikompaun manakala 3 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk penjarakan fizikal (24), tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (8),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai Operasi Benteng, agensi penguatkuasa memberkas 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 4 penyeludup serta merampas 6 kenderaan darat.
“Sebanyak 84 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan polis (73 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (1 SJR).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya. -FMT