8,000 peluang sukarelawan dengan 200,000 jam kerja musim haji 2023

Estimate Reading Time: 2 minutes

MAKKAH: Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci menyediakan lebih 8,000 peluang bagi kerja-kerja sukarelawan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan lebih 200,000 jam sukarelawan sepanjang musim haji tahun ini.

-Advertisement-

Kerja-kerja sukarelawan dan kemanusiaan yang membabitkan 10 bidang bagi meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji musim ini antara pelan operasi haji diumumkan semalam.

Ketua Presidensi, Dr Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais, berkata bagi meningkatkan panduan di dua Masjid Suci, pihaknya menyediakan perkhidmatan terjemahan, bimbingan ruang dan maklumat untuk jemaah haji dalam 51 bahasa di 49 stesen.

Memetik laporan Saudi Gazette, beliau berkata pelan itu memberi tumpuan kepada beberapa paksi utama yang berkaitan dengan matlamat strategik presidensi untuk musim haji 1444 Hijrah berdasarkan Wawasan Saudi 2030.

Dalam ucapan pembukaannya di forum media, Al-Sudais berkata, pelan operasi untuk musim haji tahun ini adalah yang terbesar dalam sejarah presidensi selepas berakhirnya pandemik COVID-19 dengan kehadiran jutaan jemaah haji mengikut sistem perkhidmatan bersepadu.

Beliau berkata pelan itu adalah lanjutan daripada kejayaan cemerlang dan pencapaian jangka panjang ditetapkan oleh arahan kerajaan diketuai Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota, yang mengikuti dengan teliti semua perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji.

Yang turut hadir, Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

-Advertisement-

Sementara itu, setakat Rabu lalu, seramai 68,721 jemaah mendapat manfaat daripada inisiatif Makkah Route.

Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama rakan kongsinya, sedang meneruskan inisiatif Makkah Route sebagai sebahagian daripada Program Pengalaman Haji Arab Saudi, antara program Wawasan Saudi 2030.

Inisiatif itu dilaksanakan di Maghribi, Indonesia, Malaysia, Pakistan, Bangladesh, dan buat pertama kalinya, di Turkiye dan Ivory Coast.

Menerusi 189 penerbangan, penerima manfaat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah.

Inisiatif berkenaan bertujuan melengkapkan prosedur perjalanan jemaah haji di negara mereka, bermula dengan pengeluaran visa secara elektronik, melalui penyiapan prosedur pasport di lapangan terbang negara berlepas selepas mengesahkan keperluan kesihatan, dan pengekodan dan pengasingan bagasi mengikut pengaturan pengangkutan dan penginapan di Arab Saudi.

– AGENSI

-Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427