8 ditahan kes pinjaman bank RM4.7 juta guna dokumen palsu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam pegawai institusi kewangan dan dua ejen sindiket disyaki terbabit kes permohonan pembiayaan peribadi menggunakan dokumen palsu berjumlah RM4.7 juta yang diluluskan bank pada 2019.

-Advertisement-

Kesemua lelaki itu diberkas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di tiga lokasi berasingan sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata sebanyak lapan telefon bimbit, sembilan slip gaji peminjam dan satu cakera keras turut dirampas dalam operasi berkenaan.

“Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang pegawai institusi kewangan.

“Ia berhubung 36 permohonan pembiayaan peribadi berjumlah RM4.7 juta diluluskan suspek pada 2019 yang disyaki membabitkan dokumen sokongan palsu,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengenai modus operandi pula, Azmi berkata, sindiket terbabit dipercayai menyasarkan individu yang tidak layak membuat pinjaman bank, sama ada atas faktor senarai hitam atau tiada pendapatan tetap.

-Advertisement-

Seterusnya, beliau berkata, sindiket itu disyaki menyediakan dokumen sokongan seperti surat lantikan kerja serta penyata kewangan palsu untuk membolehkan individu terbabit layak mendapat pembiayaan .

“Kakitangan institusi kewangan yang disyaki ada kaitan dengan sindiket itu pula didakwa meluluskan permohonan pembiayaan tanpa membuat pemeriksaan dan pengesahan teliti ke atas dokumen sokongan diberikan.

“Selepas permohonan diluluskan, peminjam dipercayai hanya menerima 30 peratus daripada jumlah pembiayaan itu, manakala baki disimpan sindiket dengan alasan mereka perlu membayar ansuran selama 20 bulan dan selebihnya adalah komisen bagi kerja dilakukan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengesan 34 peminjam pembiayaan peribadi membabitkan 22 lelaki dan 12 wanita berusia antara 24 hingga 45 tahun, bagi membantu siasatan kes terbabit.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Putrajaya, Asisten Superintendan Mohamed Hanafiah Mohamed Nawi (012-6044600 atau 03-88862222).-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427