Sungai Petani: Sebanyak 745 kertas siasatan dibuka terhadap majikan yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta 446 sejak Februari tahun ini hingga Selasa lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kesalahan itu dikesan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) selepas melakukan pemeriksaan ke atas 106,824 asrama penginapan pekerja.
“Daripada 745 kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 125 kes sudah didakwa di mahkamah seluruh negara dengan 55 kes selesai membabitkan denda berjumlah RM361,000.
“Sebanyak 291 kertas siasatan diberi izin kompaun berjumlah lebih RM3 juta terhadap majikan yang melakukan pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Pematuhan Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kilang dan asrama pekerja, di sini, hari ini.
Awang berkata, dalam operasi itu pihak kilang selaku majikan didapati melakukan kesalahan Akta 446 apabila tidak mendapat perakuan penginapan dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, majikan terbabit juga dikesan gagal memastikan pekerja mengimbas kod QR MySejahtera iaitu kesalahan mengikut Akta 342 yang jika sabit kesalahan boleh dikompaun RM10,000.
Sementara itu, Awang memaklumkan sebanyak 2,657 aduan berhubung pelbagai isu diterima sejak aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW) dilancarkan pada 3 Mei lalu.
Menurutnya, antaranya membabitkan pekerja tidak berpuas hati dengan potongan gaji, dipecat tanpa notis dan dipaksa bekerja ketika PKP.
“Kita memberi jaminan identiti pengadu dirahsiakan dan aduan diterima akan diambil tindakan antara tiga hingga tujuh hari.
“Status laporan ini juga akan dipantau pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Manusia yang akan cuba menyelesaikannya dengan segera,” katanya.-METRO