KOPI antara minuman yang paling digemari di seluruh dunia. Namun, selain kopi biasa yang sering kita nikmati, terdapat banyak jenis kopi unik yang menawarkan pengalaman rasa berbeza.
Dari kopi yang disajikan dengan cara tradisional hingga inovasi moden, dunia kopi menyimpan pelbagai kejutan yang pasti menggugah selera.
Jika anda seorang penggemar kopi sejati, berikut adalah tujuh jenis kopi unik yang mungkin belum pernah anda cuba.
1. Kopi Luwak
Berasal dari Indonesia dan terkenal sebagai salah satu kopi termahal di dunia. Apa yang membuat kopi ini unik ialah cara penghasilannya, di mana biji kopi dipilih oleh musang (luwak), yang memakannya dan kemudian biji kopi itu dikeluarkan semula.
Biji kopi yang telah diproses dalam perut musang ini dikeringkan dan dipanggang, menghasilkan rasa yang lebih lembut. Mungkin kedengaran agak menggelikan, tetapi jangan risau! Ini kerana lapisan luar biji kopi itu telah dibuang semasa pemprosesan kopi.
2. Kopi Turkish
Kopi ini juga adalah cara penyajian kopi yang sudah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan budaya dunia.
Ia menggunakan serbuk kopi yang sangat halus, bersama dengan air dan gula (mengikut cita rasa), dimasak dalam periuk kecil yang dipanggil cezve.
Kopi ini disajikan tanpa penapis, jadi serbuk kopi akan terkumpul di dasar cawan, memberikan pengalaman rasa yang kuat dan berkrim.
3. Kopi Affogato
Jika anda suka kopi dan pencuci mulut, kopi Affogato adalah pilihan yang sempurna. Ia merupakan campuran antara kopi espresso yang panas dengan aiskrim vanila yang dingin.
Percampuran rasa pahit dari kopi dan manis serta sejuknya aiskrim memberikan pengalaman rasa yang memikat dan menyegarkan.
4. Cold Brew
Kopi ini juga dikategori sebagai kopi yang unik, kerana kopi ini berbeza daripada kopi sejuk biasa, biji kopi ini dibiarkan meresap dalam air sejuk selama 12 hingga 24 jam.
Hasilnya adalah kopi menjadi lebih pekat, berperisa manis, dan kurang asidik berbanding kopi panas. Cold brew
memberikan rasa yang lebih halus dan sejuk, membuatnya pilihan ideal untuk cuaca panas.
5. Kopi Dalgona
Trend kopi Dalgona menjadi tular di media sosial sejak kebelakangan ini. Kopi ini dibuat dengan mencampurkan kopi segera, gula, dan air panas, kemudian dipukul hingga menjadi buih yang tebal dan disajikan di atas susu sejuk.
Rasa kopi yang kaya dan berkrim ini memberi pengalaman minum kopi yang sangat berbeza daripada kopi biasa.
6. Kopi Vietnam
Terkenal dengan cara penyajian yang berbeza. Kopi yang pekat dibancuh menggunakan kaedah drip (mengalir perlahan) dan dicampur dengan susu pekat manis.
Kopi ini disajikan dengan ais yang banyak, memberikan rasa manis dan menyegarkan serta sangat sesuai dinikmati di bawah cuaca panas.
7. Kopi Yunnan
Antara kopi yang unik, berasal dari wilayah Yunnan di China, dan terkenal dengan rasa yang lembut namun kompleks.
Ciri khas kopi Yunnan adalah keasidan rendah dan rasa yang penuh dengan perbezaan coklat dan rempah, dengan sedikit sentuhan buah-buahan tropika. Ia adalah pilihan terbaik bagi mereka yang suka kopi dengan
rasa yang lebih beraroma dan halus.
Dengan begitu banyak jenis kopi unik yang ada, setiap tegukan membawa anda ke dalam pengalaman rasa yang baru dan menarik. Jika anda seorang peminat kopi, cubalah variasi ini untuk memperkaya lagi pengetahuan dan penghargaan anda terhadap dunia kopi.
Setiap jenis kopi mempunyai cerita dan keistimewaannya sendiri yang pasti akan memikat hati anda.
Selamat menikmati!
-BeritaHarian