SHAH ALAM: Platform Selangor (PLATS) sudah merekodkan pendaftaran 62 peratus peniaga yang diberi pendedahan dan latihan perniagaan secara digital.
Pada 2021, seramai 7,742 peniaga menjalani latihan berkenaan daripada seramai 7,765 peniaga berdaftar di laman sesawang PLATS. Pada tahun lalu, seramai 684 peniaga dari Bazar Ramadan dan Medan Selera menjalani latihan berkaitan di samping 11,881 peniaga lain.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61.8 peratus dalam kalangan vendor yang sudah menjalani latihan PLATS yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya dan Perbandaran di Selangor.
Sejak pelaksanaannya pada 2020, lebih daripada 20,271 peniaga sudah berdaftar di PLATS.
Platform berkenaan adalah inisiatif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) sebagai langkah proaktif kerajaan negeri untuk membantu rakyat mempertingkatkan perniagaan mereka menerusi platform komuniti digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, berkata statistik terkini membuktikan bahawa pendedahan, kemahiran serta sistem sokongan yang bersesuaian dapat mendidik penjaja untuk lebih celik digital serta memudah cara peralihan penjaja kepada industri 4.0.
“Kami berbesar hati dapat membantu memperkasa penjaja tempatan dengan kemahiran perniagaan digital. Menerusi PLATS, penjaja dapat membina kehadiran secara dalam talian sekali gus dapat mengembangkan saluran perniagaan mereka” katanya dalam kenyataan.
PLATS turut menyediakan peluang pekerjaan kepada 133 pelajar, graduan baharu dan pekerja bebas melalui Rakan Digital Selangor (RDS). Pasukan RDS bertugas di lapangan untuk melatih semua peniaga dan penjaja setempat mengenai pendaftaran perniagaan mereka di laman sesawang PLATS.
Platform ini juga mengendalikan lebih 50 program seperti latihan lapangan untuk peniaga kecil. Antara topik pembelajaran untuk peniaga kecil dan penjaja termasuk kaedah pengurusan akaun media sosial, suntingan asas hantaran media sosial, proses pengurusan tempahan dalam talian, penggunaan transaksi tanpa tunai dan aturan pendigitalan asas perniagaan.
Peniaga trak makanan Chicki Mart, Muhd Khairzman mengakui bahawa PLATS membantu untuk meningkatkan operasi jualan syarikatnya.
Beliau bersyukur perniagaannya kian berkembang malah Chicki Mart juga menjadi pembekal snek ayam untuk sekolah di Selangor.
Fatinnur Ain Zulkifli daripada Aten’s Kitchen pula mengakui, selepas Karnival PLATS tahun lalu, ramai pelanggan menyedari kehadiran perniagaannya yang kebanyakannya dari Selangor malah jualannya kini meningkat antara 10-15 peratus daripada karnival terbabit.
Berikutan kejayaan ini, Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkata, PLATS berazam untuk meneruskan program latihan berkenaan, sekali gus meningkatkan profil perniagaan di Selangor dalam era pendigitalan.
Sementara itu, Bazaar Ramadan Digital PLATS bakal dianjurkan dengan menghimpunkan peniaga dan hasil jualan mereka dalam satu halaman direktori.
Ini dijangka mengurangkan masalah kesesakan di bazar Ramadan di seluruh Selangor. Justeru, PLATS dan 12 pihak berkuasa tempatan memperuntukkan 14,430 ruang perniagaan digital untuk peniaga mengembangkan perniagaan di bulan Ramadan.
Direktori berkenaan akan memaparkan pautan WhatsApp bagi membolehkan pengguna berhubung terus dengan penjaja untuk membuat tempahan awal pilihan makanan mereka tanpa perlu menunggu atau beratur.
“Apa yang membuatkan usaha ini unik adalah ia menyediakan akses terus kepada orang ramai untuk berhubung dengan vendor makanan kegemaran mereka dan terdapat hampir 100,000 sajian Iftar disenaraikan pada direktori terbabit untuk dinikmati,” tambah Y.M. Raja Ahmad Sharir Iskandar. – Berita Harian