600 pelajar terima tajaan pendidikan PETRONAS bernilai RM340 juta

Estimate Reading Time: 3 minutes

Kuala Lumpur: Seramai 600 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, ditawarkan anugerah tajaan pendidikan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di bawah program PETRONAS Memperkasakan Ilmu membabitkan nilai tajaan lebih RM340 juta bagi menggalakkan pendidikan dan pembangunan modal insan mereka.

-Advertisement-

Jumlah tajaan berkenaan akan membolehkan penerima melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan universiti terkemuka dalam serta luar negara termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China, Jepun dan yang terbaharu di Korea Selatan.
Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh, berkata pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan di semua peringkat akan melahirkan bakat yang mampan dan berterusan bagi PETRONAS, industri, dan juga negara.

“Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu adalah komitmen PETRONAS untuk memperjuangkan pencarian ilmu di kalangan pelajar dan pendidik.

“PETRONAS menyokong usaha untuk memberi pendidikan berkualiti dan memperkasakan ilmu kepada penerima tajaan bagi mencapai kemajuan, sekali gus memberi kesan positif kepada dunia yang berubah dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Dengan portfolionya kini melangkaui minyak dan gas ke arah spektrum tenaga yang lebih luas, PETRONAS memerlukan kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang.

Ini sekali gus akan melahirkan tenaga profesional yang berpengetahuan tinggi dan berkebolehan.

Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu menawarkan tajaan pendidikan dalam pelbagai disiplin termasuk Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Petroleum, Geofizik, Perakaunan, Pemasaran dan Undang-Undang. PETRONAS juga akan terus menaja pelajar dalam bidang Sains Data dan Kejuruteraan Data bagi memenuhi aspirasi kemajuan transformasi digital.

Lebih 10,000 calon membuat permohonan namun hanya pelajar dengan keputusan akademik yang cemerlang serta memiliki kualiti kepimpinan, kecerdasan, semangat bekerjasama dan kemahiran menyelesaikan masalah, dipilih untuk menerima tajaan.

“PETRONAS memilih pelajar berdasarkan penilaian holistik yang merangkumi pencapaian akademik dan bukan akademik. Di samping itu, PETRONAS juga menjalankan penilaian untuk mengukur kebolehan, kreativiti, dan gaya pemikiran penyelesaian masalah.

“Proses saringan yang menyeluruh ini membolehkan pelajar meraih prestasi yang cemerlang apabila mereka mengikuti pengajian di dalam dan luar negara,” kata Pengurus Besar Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Syed Mohammad Muhafiz Syed Mohd Bakar, ketika ditemui selepas majlis penyerahan sijil tajaan tersebut.

Sementara itu, penerima tajaan pendidikan PETRONAS 2023 Khalish Danial Md Ridzwan, 18, berkata pengalamannya berada di Pusat Kepimpinan PETRONAS sebelum ini menguatkan lagi keinginannya untuk membina kerjaya dan berkhidmat di syarikat terbabit.

Katanya, program berkenaan disusun dengan baik dan penuh dengan maklumat, sekali gus memberi dirinya gambaran berharga mengenai budaya dan nilai yang ada di PETRONAS.

-Advertisement-

“Saya yakin PETRONAS adalah syarikat yang terbaik untuk saya dan bersyukur kerana diberi peluang untuk meneruskan pendidikan dan matlamat kerjaya saya dengan sokongan mereka.

“Saya teruja apabila mengetahui bahawa saya dipilih sebagai penerima tajaan pendidikan PETRONAS. Saya bertungkus-lumus untuk menghadapi temu duga akhir bagi mendapatkan tajaan berkenaan dan berasa gembira dengan prestasi saya.

“Tajaan ini bagaikan impian yang menjadi kenyataan dan keluarga saya turut gembira dengan pencapaian ini. Mereka mahu saya mempunyai pekerjaan stabil dan bermanfaat pada masa hadapan,” katanya.

Khalish dan keluarganya berdepan dengan kekangan kewangan setelah bapanya ditimpa strok.

Anak kelahiran Johor itu menganggap penajaan pendidikan PETRONAS sebagai talian hayat kewangan yang membolehkan dirinya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi tanpa risau tentang kewangan.

“Ia memberi saya peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti tinggi yang tidak mampu saya lakukan secara peribadi,” katanya.

Seorang lagi penerima tajaan pendidikan PETRONAS, Yarshini Manimaran, 18, yang berasal dari Kedah, berkata salah satu matlamat utamanya adalah untuk berupaya melanjutkan pelajaran ke luar negara tanpa memberikan tekanan kewangan kepada ibu bapa dan keluarganya.

Sebagai anak yang sulung dari tiga adik-beradik, Yarshini dapat melihat sendiri kesusahan yang dialami bapanya, seorang pengurus ladang, dan ibunya, seorang surirumah, dalam membesarkan keluarga.

Oleh itu, beliau merasakan tanggungjawab yang besar untuk membantu meringankan beban ibu bapanya.

“Melalui tajaan pendidikan PETRONAS, saya bukan sahaja diberi peluang keemasan untuk menyambung pengajian tinggi di luar negara, malah berpeluang untuk masuk ke universiti ternama di luar negara.

“Penajaan PETRONAS ini mampu menjamin masa depan saya, sama ada dalam pendidikan mahupun dalam kerjaya saya,” katanya.

Sejak 1975, PETRONAS telah menaja lebih daripada 38,000 bakat muda Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang luas, membantu mereka mencapai matlamat mereka dan membentuk hala tuju syarikat, industri tenaga, dan negara secara keseluruhan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427