KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan kerajaan pada tahun lepas adalah melalui kaedah pembayaran secara elektronik atau e-payment, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Perdana Menteri, ia hasil penerapan aspek digitalisasi dalam pelbagai urusan kerajaan, dengan sasaran pembayaran tanpa tunai bagi semua perkhidmatan menjelang 2022.
“Para belia di negara ini amat bertuah kerana dapat memanfaatkan aplikasi digital bagi menambah ilmu pengetahuan, berkomunikasi dengan satu sama lain, serta mencari peluang pekerjaan dan perniagaan. “Kerajaan sentiasa menggalakkan belia untuk terus meneroka inovasi dan menjadi pencetus idea seiring dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya pada pelancaran secara maya Program eBelia, iaitu inisiatif Belanjawan 2021, hari ini.
Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, belia merupakan penggerak utama agenda pendigitalan negara.
Jelasnya, Program eBelia telah ditambah baik melalui program PEMERKASA, di mana nilai kredit telah ditingkatkan dari RM100 ke RM150 bagi setiap penerima. “Ini akan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai (cashback) dan reward points.
“Dengan peruntukan sejumlah RM300 juta, program ini dijangka memanfaatkan dua juta rakyat Malaysia yang berumur 18 ke 20 tahun, serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa. “Program ini juga akan mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless),” ujarnya.
Dalam pada itu, ujarnya, laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan, transaksi e-wallet pada 2020 meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta. Kata Muhyiddin, lebih banyak peniaga mendaftar untuk menerima pembayaran melalui Kod QR, dengan bilangan pendaftaran meningkat lebih dua kali ganda pada akhir tahun lalu.
“Saya berharap, melalui program ini, para belia akan mengambil peluang untuk menyokong para usahawan tempatan yang kebanyakannya dalam kalangan saudara-saudari sendiri. “Sebagai warga digital, saya percaya saudara-saudari boleh mempelopori kaedah cashless payment, sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran seperti ini. “Kerajaan sentiasa menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya PKS mengendalikan perniagaan dalam era digitalisasi, yang mana transaksi pembayaran dibuat secara online (dalam talian) atau cashless,” katanya.-AWANI