KUALA TERENGGANU: Enam jenazah sekeluarga mangsa tragedi fenemona kepala air Jeram Air Putih, Kemaman dijangka dibawa pulang ke kampung halaman bagi urusan pengebumian selewat-lewatnya petang ini.
Jenazah Azizah Eiyi, 40, dan suaminya, Karim Abdullah, 39, serta anak pasangan itu, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Muhammad Haziq Ziqree, 6; Putri Aryana Umaira, 4, dan Putri Nurerina Natasya, 10, akan dibawa ke Masjid FELDA Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang untuk disembahyangkan sebelum proses pengebumian.
Bapa kepada Azizah, Eiyi Johari, 60, berkata pihaknya akan membawa pulang enam jenazah yang sudah selesai urusan bedah siasat.
“Pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berbincang untuk membawa pulang dulu enam jenazah yang sudah selesai urusan bedah siasat untuk pengebumian.
“Sebaik jenazah selesai dimandi dan dikafankan di HSNZ, kita akan bergerak pulang ke Gambang.
“Kalau ikutkan, tujuh jenazah sudah berada di HSNZ ini apabila anak sulung Azizah (Putri Balqis Izzati) yang terbaru ditemui pagi tadi, namun ia mengambil sedikit masa yang lama untuk menunggu proses bedah siasat, dan membawa pulang enam terlebih dulu,” katanya yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSNZ, di sini hari ini.
Pada Ahad lalu, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga yang dilaporkan berkelah di Jeram Air Putih pada petang Sabtu, hilang selepas dihanyutkan kepala air di kawasan itu.
Setakat pagi tadi, tujuh mayat sudah ditemukan dan dikenal pasti identitinya, manakala yang masih hilang ialah Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang juga tunang kepada Putri Balqis Izzati.
– BH