KOTA BHARU: Sebanyak 55 kenderaan yang cuba memasuki Kelantan diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran polis merentas negeri, semalam.
Semua pemandu diminta berbuat demikian ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri iaitu Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.
Mereka kebanyakannya datang dari Pahang, Perak dan Terengganu yang mencuba nasib untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha esok.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah, berkata semua pemandu yang diperiksa tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri menyebabkan pihaknya mengarahkan mereka supaya berpatah balik.
“Kita dapati mereka hanya mencuba nasib dan sanggup memandu jauh untuk pulang ke Kelantan menyambut Aidiladha walaupun sedar peluang untuk rentas negeri adalah sukar memandangkan tidak mempunyai surat kebenaran.
“Tindakan yang diambil polis ini diharap menjadi pengajaran kepada mereka yang lain supaya tidak mencuba untuk merentas negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, aliran trafik di Kelantan hari ini lancar tanpa berlaku peningkatan jumlah kenderaan.
“Malah, kemasukan kenderaan di tiga SJR di sempadan negeri juga seperti biasa dan tidak berlaku peningkatan.
“Kita akan membuat pemeriksaan rapi di SJR dan akan memastikan tiada individu yang cuba mengambil kesempatan untuk merentas negeri tanpa kebenaran,” katanya.-BH