JOHOR BAHRU: Lima lelaki yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ dengan mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes memandu dalam keadaan mabuk dan meminta suapan RM3,000, hari ini diperintah ditahan reman sehingga Ahad depan.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 24 hingga 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.
Permohonan reman ke atas lima orang awam itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Semalam, sumber SPRM memaklumkan, kelima-lima lelaki terbabit ditahan di pejabat suruhanjaya itu di bandar raya ini, kira-kira jam 8 malam.
Difahamkan, semua suspek bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan satu kes kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan lima lelaki terbabit.
-BeritaHarian