Melaka: Polis menasihatkan orang ramai, khususnya golongan `kayangan’ di negeri ini supaya tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk kepada kalangan orang kenamaan (VIP) serta artis yang gagal mematuhinya.
Katanya, semua pihak tidak kebal daripada dikenakan tindakan, malah polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh selepas menerima laporan berkaitan pelanggaran SOP dalam kalangan masyarakat.
“Saya menolak dakwaan wujudnya ‘double standard’ dalam tindakan penguatkuasaan, kita bertindak ke atas semua yang melakukan kesalahan termasuk golongan VIP, selebriti dan artis popular,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, polis Melaka sudah membuka lima kertas siasatan berkaitan pelanggaran SOP membabitkan ahli politik dan artis popular tanah air.
Katanya, ia adalah antara 18 kertas siasatan yang dibuka berkaitan kesalahan yang membabitkan Peraturan-Peraturan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Justeru, polis negeri berharap supaya orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran SOP PKP 3.0 melalui talian 06-2854156, 06-2851999 atau menerusi aplikasi WhatsApp 012-2244999.
“Kami juga menasihati orang ramai termasuk VIP supaya sentiasa mematuhi SOP dan kegagalan berbuat demikian akan membolehkan tindakan diambil di bawah undang-undang yang sedang berkuat kuasa sekarang,” katanya.-METRO