PUTRAJAYA: Tempoh empat tahun diperlukan untuk memulihkan sektor pelancongan negara yang terjejas teruk ekoran penularan pandemik COVID-19 sejak awal tahun ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, unjuran Majlis Tindakan Ekonomi sebelum ini meletakkan tempoh berkenaan, iaitu satu jangka masa yang panjang memungkinkan ramai peserta industri sedia ada tiada lagi menjelang tempoh itu.
Beliau berkata, ia berikutan peserta industri pelancongan sedia ada mengalami kerugian akibat situasi ketika ini.
“Antara sektor yang dikatakan paling teruk terjejas adalah pelancongan. Unjuran yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi, dikatakan untuk sektor pelancongan ini pulih seperti sedia kala perlu tempoh empat tahun, itu satu jangka masa yang panjang.
“Mungkin dalam empat tahun kita akan tengok pemain-pemain baharu kerana yang lama mungkin sudah rugi, maka akan lahir pemain baharu dan mereka ini juga perlukan sokongan dan bantuan yang boleh mudahkan urusan mereka supaya pelancongan dapat kembali menjadi antara penjana pendapatan negara yang terbesar.
“Saya fikir hampir RM80 bilion dapat kita kumpul (pulangan) dalam sektor pelancongan saja,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 250 kakitangan dan pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Perjumpaan Bulanan pertamanya sejak menerajui kerajaan pada Mac lalu.
Muhyiddin berkata, apabila pelbagai peringkat industri, perniagaan dan segala bentuk kegiatan ekonomi negara hampir terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, negara kerugian RM2. 4 bilion sehari.
Justeru, beliau berkata, kerajaan mengambil beberapa pendekatan dan usaha termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan menerusi Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat dengan peruntukan sejumlah RM260 bilion.
Katanya, ia adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk meletakkan semula landasan ekonomi ke landasan yang betul.
“Dengan bantuan-bantuan yang kita sediakan untuk semua sektor ekonomi, perniagaan, industri dan semua bidang-bidang utama termasuk yang dalam bidang ekonomi tidak formal.
“Semua ini bukan mudah kerana bila kita nak mulakan kegiatan ekonomi kita dapatkan maklumat lapangan mengenai kesukaran (yang dihadapi),” katanya.
-BH