4 individu sah dijangkiti leptospirosis – JKNT

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan semua empat individu yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, sebelum ini termasuk seorang meninggal dunia dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus.

-Advertisement-

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berdasarkan keputusan ujian makmal yang diperoleh.

Justeru, beliau menasihati orang awam mengelak daripada menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun dalam tempoh terdekat untuk mengelak risiko dijangkiti penyakit itu.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu semua tempat rekreasi air terjun ditutup dan tidak dikunjungi orang ramai.

“Oleh itu haiwan liar termasuk tikus sudah pasti berkeliaran di kawasan berkenaan seterusnya kencing di merata tempat termasuk lopak air.

“Jadi, saya nasihatkan orang awam elakkan daripada mengunjungi kawasan yang berisiko itu buat masa sekarang,” katanya.

-Advertisement-

Pada 15 Jun lalu, seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia selepas disyaki dijangkiti leptospirosis, manakala tiga yang lain berusia antara 30 hingga 32 tahun dari Dungun dirawat di HSNZ.

Semua pesakit menunjukkan gejala menyerupai gejala leptospirosis seperti demam, sakit sendi (arthralgia), sakit otot (myalgia), cirit-birit dan muntah, dengan siasatan JKNT mendapati mereka melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat di Jerantut antara 1 hingga 4 Jun lalu.

Mengenai tiga pesakit yang dirawat itu, Dr Nor Azimi berkata mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing empat hari lalu.

“Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang disebabkan patogen Leptospira yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia.

“Bakteria itu boleh terdapat dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427