KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,080 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 31 Oktober lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kes itu direkodkan dalam tempoh 228 hari, namun ia menunjukkan penurunan sebanyak 178 kes berbanding tempoh sebelum itu sejak 2 Oktober 2019 hingga 17 Mac lalu yang mencatatkan 3,258 kes.
“Jumlah penurunan berkurangan berbanding empat fasa pertama PKP iaitu dari 18 Mac hingga 3 Mei lalu dengan penurunan sebanyak 400 kes.
“Namun jumlah kes bagi semua negeri menunjukkan peningkatan bermula PKPB iaitu dari 4 Mei hingga kini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Siti Kamsiah berkata, statistik menunjukkan sejak PKPP dan PKPB bermula pada 10 Jun hingga 31 Oktober lalu, jumlah kes kembali normal seperti sebelum PKP.
“Tempoh PKPP itu menunjukkan jumlah kes adalah kembali normal kerana aktiviti semua sudah kembali normal. Setiap tempoh kawalan pergerakan ada perbezaan,” katanya.
Beliau berkata, kejadian kes keganasan rumah tangga disebabkan pelbagai punca perbalahan antara pasangan seperti cemburu, selisih faham berkaitan hal kecil, masalah duit dan suami penagih dadah.
“Selain itu, mereka bergaduh disebabkan berebut hak penjagaan anak dan mabuk. Kebanyakan mereka yang terbabit dalam keganasan rumah tangga ini secara keseluruhannya memang sudah bertelagah lama,” katanya.
Katanya, laporan polis dibuat selepas mangsa tidak tahan dengan sikap pelaku atau mungkin pada hari kejadian mangsa dipukul lebih teruk berbanding sebelumnya.-Sinar Harian