KANGAR: Pasukan Polis Marin merampas 300 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM30,000 dan menahan lima lelaki yang cuba menyeludup tumbuhan berkenaan di Bukit Puteh, Kuala Perlis, di sini semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail, berkata serbuan dilakukan pada jam 4 petang di sekitar Pintu 3 Tembok Sempadan Malaysia-Thailand, susulan maklumat diterima bahawa satu kegiatan penyeludupan sedang dijalankan di kawasan itu.
“Pasukan dari Unit Risikan Marin bersama anggota Markas Taktikal Polis (MARTEK) Kuala Perlis dikerahkan untuk meninjau di kawasan berkenaan.
“Apabila kami tiba di kawasan berkenaan, anggota bertugas ternampak dua kereta iaitu Proton Axia dan Proton Persona dalam keadaan mencurigakan yang disyaki ada membawa muatan daun ketum sedang melalui laluan berhampiran tembok berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, risikan selanjutnya mendapati terdapat lima lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an berada di lokasi berkenaan dan sedang leka memunggah bungkusan plastik hitam.
“Melihatkan keadaan berkenaan, anggota kita terus menyerbu ke arah suspek dan menahan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan selanjutnya mendapati bungkusan palstik hitam itu adalah daun ketum seberat 300 kg.
“Kita percaya bahawa sindiket menyeludup cuba menjadikan kawasan tembok sempadan itu sebagai kawasan menyeludup daun ketum berkenaan ke Thailand,” katanya.
Rampasan termasuk kereta dianggarkan bernilai RM80,000 dan kesemua suspek serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
-BH