KEPALA BATAS: Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan pemerasan dan rompakan ditahan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, di sini, petang semalam.
Penahanan tiga lelaki berusia 28 hingga 32 tahun itu dibuat pada jam 5.30 petang semalam selepas polis menerima laporan kejadian rompakan pada jam 6.20 pagi kelmarin yang berlaku di kawasan perumahan sama suspek ditahan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan berlaku rompakan ketika seorang mangsa lelaki sedang mengambil rakannya di hadapan sebuah rumah dua tingkat di kawasan itu.
“Pada ketika itu,tiba-tiba datang tiga suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru dan memperkenalkan diri mereka sebagai polis lalu mengarahkan mangsa bersama rakannya masuk ke rumah termasuk menyerahkan kad pengenalan serta telefon bimbit mereka.
“Kemudian ketiga-tiga suspek itu pergi membuat pemeriksaan rumah hingga ke tingkat atas dan membawa turun penghuni lain dan menyuruh semua mereka masuk ke satu bilik sebelum memanggil salah seorang keluar dari bilik.
“Selepas itu, suspek menyerahkan kad pengenalan yang diambil dan tidak lama kemudian ketiga-tiga mereka beredar keluar dari rumah sebelum mangsa mendapati semua telefon bimbit mereka dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata, bertindak melalui laporan itu polis menahan ketiga-tiga suspek berkenaan dan siasatan mendapati mereka bertiga yang positif dadah mengaku terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza serta plastik yang tertera logo dan tulisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.-BH