Kuala Lumpur: Seramai 285 penjenayah berjaya ditahan di ibu negara oleh pasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sejak Januari 2021 hingga 25 April lalu.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kedua-dua pasukan itu disifatkan elemen penting dalam aspek pencegahan jenayah dan bertanggungjawab sebagai ‘responder’ pertama untuk melakukan tangkapan.
“Sepanjang tempoh itu, pasukan memeriksa 110,749 individu dan 93,807 kenderaan, dengan 285 tangkapan dibuat atas beberapa kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azman berkata, selain tugasan berkenaan, MPV dan URB juga bertanggungjawab menyampaikan hebahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 di sekitar sekolah dan kawasan tumpuan orang ramai.
“Untuk itu, MPV dan URB Kontinjen Kuala Lumpur akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat di bandar raya ini.
“Jabatan ini juga menyarankan orang ramai supaya dapat membantu dalam menyalurkan maklumat berkenaan apa jua perlakuan jenayah kepada anggota MPV dan URB Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya.-METRO