267 mangsa WhatsApp Web palsu rugi lebih RM2 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 237 orang terjebak dalam penipuan data membabitkan WhatsApp Web palsu sejak awal bulan ini dengan jumlah kerugian $606,000 (RM2.1 juta), menurut polis dalam satu kenyataan semalam.

-Advertisement-

Dalam kes berkenaan, suspek mula-mula menguasai akaun WhatsApp yang terjejas selepas pengguna mengklik pautan URL yang tidak disahkan ketika mencari halaman web rasmi WhatsApp.

Menyamar sebagai pengguna akaun asal, suspek kemudian menghubungi keluarga atau rakan pengguna yang disenaraikan dalam senarai kenalan akaun untuk meminta pinjaman.

Memetik laporan The Straits Times, suspek biasanya mendakwa mereka memerlukan wang dengan segera untuk pembayaran belian atau membantu rakan atau saudara yang mengalami masalah kewangan.

Sebagai contoh, suspek mungkin mendakwa mereka perlu membayar untuk kecemasan perubatan, tetapi akaun bank mereka dihadkan kerana melebihi had pemindahan.

-Advertisement-

Ada juga suspek meminta kenalan memberikan tangkapan skrin yang menunjukkan pemindahan untuk meminta lebih banyak wang kemudian.

Kenalan itu kemudiannya diminta memindahkan wang ke akaun bank yang tidak dikenali atau nombor PayNow yang kononnya milik pengguna akaun asal.

“Mangsa akan menyedari mereka ditipu selepas menghubungi atau dihubungi keluarga atau rakan mereka yang mendakwa tidak menerima sebarang wang,” kata polis.

Polis menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah keselamatan seperti membolehkan ciri pengesahan dua langkah WhatsApp dan memastikan hanya menggunakan laman web rasmi WhatsApp Web, selain berhati-hati dengan sebarang permintaan luar biasa yang diterima pada platform pemesejan.

Orang ramai juga perlu mengelak daripada berkongsi kod pengesahan akaun WhatsApp dan menyemak peranti yang dipautkan di WhatsApp dengan kerap, menurut polis.
– AGENSI
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427