SINGAPURA: Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) Singapura akan mendakwa dua lelaki di mahkamah, di sini, kerana melanggar langkah jarak selamat mengikut Peraturan (Perintah Kawalan) COVID-19 (Langkah Sementara) 2020.
Dua lelaki berkenaan akan didakwa di mahkamah pada 2 Mac ini.
Dalam kenyataan medianya semalam, BCA berkata, 13 orang didapati melanggar langkah jarak selamat selepas mengadakan perhimpunan sosial di sebuah unit kediaman pada 2 Oktober lalu.
Pemilik unit itu, seorang lelaki berusia 53 tahun, dipercayai membenarkan 12 individu bukan anggota keluarganya untuk berkunjung dan terus berada di kediamannya di Daisy Road, bagi meraikan sambutan hari lahir.
Dalam Fasa Kedua pembukaan semula Singapura antara 19 Jun dengan 27 Disember tahun lalu, seorang individu tidak dibenarkan menjemput lebih daripada lima tetamu berkunjung ke unitnya pada bila-bila masa melainkan untuk tujuan yang dibenarkan.
Sementara itu, seorang lagi tetamu lelaki berusia 50 tahun, juga dipercayai melanggar peraturan dengan berkumpul di luar kediamannya bersama dengan 12 individu yang tidak tinggal serumah dengannya, menurut BCA.
Lelaki berusia 50 tahun itu ‘dipercayai menjemput tiga daripada tetamu itu ke kediaman tersebut, meskipun mengetahui bahawa dengan berbuat demikian ia akan menyebabkan perhimpunan berkenaan melebihi jumlah individu dibenarkan,” menurut BCA.
Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$10,000 (RM30,397) dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Lagi 11 tetamu yang menghadiri perhimpunan yang sama masing-masing didenda S$300 (RM912) kerana menyertai perhimpunan sosial yang membabitkan lebih lima orang.
BCA bagaimanapun tidak mendedahkan nama mereka yang terbabit.
– AGENSI