19 kakitangan SPRM terjejas tanah runtuh diberi penginapan sementara – KPPA

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada 19 kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam insiden tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), kelmarin.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad, berkata kemudahan sementara itu disediakan untuk memastikan kakitangan MACA tidak terganggu dengan insiden itu.

Beliau berkata, setakat ini perancangan membaik pulih kemudahan yang terkesan dengan tanah itu berkemungkinan mengambil masa sehingga dua minggu.

“Setelah berbincang termasuk bersama Timbalan Pesuruhjaya SPRM, kami membuat keputusan untuk memberikan kemudahan penginapan kepada kakitangan SPRM yang terbabit.

“Kita sediakan 19 rumah kepada mereka ini kawasan-kawasan berdekatan tempat kerja mereka. Jadi isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini,” katanya selepas membuat lawatan di tapak runtuhan, di sini hari ini.

Yang turut hadir hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Idris Zaharudin.

-Advertisement-

Kelmarin, tanah runtuh dilapor berlaku berdekatan bangunan MACA milik SPRM di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di sini, dikatakan berpunca daripada takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta paip bawah tanah yang pecah, turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian runtuhan cerun di bukan disebabkan faktor semulajadi sebaliknya berpunca akibat kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air, di kawasan itu.

Beliau berkata, kebocoran paip pada sistem perpaipan mengakibatkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi (fully saturated) seterusnya meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile.

Mengulas lanjut, Zulkapli berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan membuka jalan alternatif untuk memudahkan urusan kakitangan MACA.

“Kita juga akan menyediakan fasiliti lain untuk memastikan kerja-kerja dan operasi MACA dan agensi lain yang terbabit berjalan seperti biasa,” katanya. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427