CHUKAI: Seramai 150 tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai menerima bantuan bagi meringankan beban selepas pendapatan mereka terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bantuan berupa wang tunai RM100, beras dan pelitup muka membabitkan peruntukan berjumlah RM18,000 itu disalurkan kepada tukang gunting rambut yang berdaftar.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat, berkata perkhidmatan gunting rambut antara sektor yang belum dibenarkan beroperasi oleh kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 sejak PKP berkuatkuasa.
“Pengagihan bantuan kepada semua tukang gunting rambut ini dilakukan secara pandu lalu di pekarangan pejabat DUN Chukai, hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai berkata kerajaan negeri memahami situasi yang dihadapi oleh rakyat.
“Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sudah meminta peruntukan khas wakil rakyat digunakan untuk membantu masyarakat yang terkesan.
“Semua wakil rakyat diminta menggunakan peruntukan disalurkan setiap tahun untuk membantu meringankan bebanan mereka yang terkesan,” katanya.
-BH