KUALA LUMPUR- Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan aktiviti khidmat bantuan peringkat komuniti bagi membantu mangsa bencana banjir.
Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pascabencana) Nadma, Mohamed Zahari Razali berkata setakat hari ini, terdapat 150 NGO berdaftar di bawah Nadma sejak penubuhannya pada 2014.
“Mereka ini sentiasa bersama Nadma melalui kursus-kursus bersama dan sekarang ini mereka ada di lapangan, serta mereka memainkan peranan dengan sangat aktif.
“…Kali ini kita tengok tidak ada lambakan pakaian dan makanan di tepi jalan kerana ia lebih terselaras iaitu (Nadma) akan sentiasa berhubung dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai Tengkujuh: Amaran Dan Kesiapsiagaan yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Berita RTM malam tadi.
Mohamed Zahari Razali berkata kumpulan NGO ini akan dimaklumkan tentang keperluan dan maklumat lokasi yang memerlukan bantuan bagi memastikan saluran bantuan lebih tersusun dan sampai kepada pihak berkeperluan.
Sementara itu, Mohamed Zahari berkata Nadma dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut bekerjasama dalam usaha mengurangkan impak banjir di negara ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya bertindak pantas setiap kali berlaku bencana.
Ketika ini, Nadma bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi memberi amaran awal menerusi maklumat MetMalaysia yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp apabila banjir semakin buruk.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata masyarakat perlu lebih cakna dan cepat bertindak apabila menerima maklumat amaran cuaca dari agensi itu agar perkara tidak diingini dapat dielakkan.
Menurut beliau, masyarakat perlu sentiasa berada dalam keadaan yang lebih bersiap sedia untuk menghadapi bencana memandangkan ia berlaku saban tahun dan pihaknya turut mengeluarkan amaran awal serta perkembangan terkini cuaca untuk makluman orang ramai.- BERNAMA