San Salvador: Pasukan pakar forensik mengeluarkan mayat 14 individu yang mati dibunuh dan ditanam di rumah seorang bekas pegawai polis yang menjadi ahli geng penjenayah di barat El Salvador.
Mereka memakai sut khas dan memasuki rumah Hugo Ernesto Osorio Chavez di bandar Chalchuapa.
Menteri Kehakiman dan Keselamatan Gustavo Villatoro berkata, sekurang-kurangnya 14 mayat ditemukan di rumah Osorio Chavez.
Bekas polis itu sebelum ini ditahan pada 8 Mei sebagai suspek utama pembunuhan seorang wanita dan anaknya, selepas jiran menghubungi pihak berkuasa.
Ia menyebabkan polis memasuki rumah lelaki itu di mana mereka kemudian menemukan mayat.
Villatoro berkata, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diambil daripada penduduk yang kehilangan ahli keluarga untuk melihat sama ada ia padan dengan mayat berkenaan.
Lalaun ke rumah bekas polis itu yang terletak berdepan ladang tebu ditutup polis untuk mengelak daripada dimasuki pemberita.
Ahli forensik kriminologi, Israel Ticas memberitahu AFP bahawa kerja penggalian akan bersambung di bahagian lain kediaman itu, dan ia dijangka mengambil masa lebih sebulan.
Pada Rabu, hakim tempatan mengarahkan penahanan 11 individu yang mempunyai kaitan dengan Osorio Chavez.
Pada 2020, El Salvador negara kecil dengan populasi 6.5 juta itu menyaksikan 1,322 kes pembunuhan atau 20 kes bagi setiap 100,000 penduduk.-METRO