BANDAR MEXICO, MEXICO – Sekurang-kurangnya 15 orang maut dan puluhan lagi tercedera apabila jejambat landasan kereta api metro runtuh.
Kereta api tersebut runtuh ketika sebuah kereta api sedang melalui kawasan tersebut, kata pihak berkuasa.
Daripada rakaman kamera yang disiarkan oleh media tempatan, landasan kereta api itu terjatuh ke atas jalan raya di Stesen Olivos. Kerete api itu menghempap sekurang-kurangnya sebuah kereta yang sedang lalu di bawahnya.
“Setakat ini, seramai 15 orang maut,” ujar Datuk Bandar, Bandar Mexico, Claudia Sheinbaum.
Sementara itu, Jabatan Pertahanan Awam di Twitter memaklumkan, 70 yang lain tercedera dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 10.30 malam (waktu tempatan) itu.
Susulan kejadian tersebut, perkhidmatan kecemasan sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat.-KOSMO